Jalan ibarat ‘medan perang’ - Utusan Malaysia

Jalan ibarat ‘medan perang’

JALAN yang semakin rosak sehingga mewujudkan lopak besar menimbulkan masalah kepada pemandu selain merosakkan kenderaan mereka di Kampung Hutan Pulai, Alor Setar di sini. -UTUSAN/MOHD RIFAAT ABD HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengguna kenderaan di jalan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) sepanjang Kampung Hutan Pulai, di sini merayu kepada pihak berkaitan agar dapat membaiki jalan itu yang rosak teruk.

Mereka mendakwa, terdapat banyak lubang di sepanjang jalan itu yang menimbulkan bahaya kepada pengguna terutamanya pada musim hujan sehingga menyebabkan beberapa kejadian tidak diingini telah berlaku.

Penduduk, Khairul Anuar Othman, 61, berkata, keadaan jalan sepanjang tali air itu yang semakin rosak dan berlubang menyebabkan mereka terpaksa berhati-hati setiap kali melaluinya.

“Pernah seorang penunggang motosikal terpaksa dibawa ke hospital selepas parah terjatuh dalam lubang itu kerana tidak menyedari lubang yang dipenuhi air itu adalah dalam hingga motosikalnya terbabas dan dia tercampak ke hadapan.

“Beberapa hari kemudian berlaku lagi kejadian seumpama itu kerana paras air yang menutup lubang itu menjadi jerat kepada penunggang. Selain berlubang, jalan itu juga kini tidak sama rata kerana tanah di situ dikatakan semakin mendap,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Khairul Anuar, sebelum ini penduduk kampung telah mengambil inisiatif dengan menutup lubang yang membahayakan pengguna kenderaan di situ dengan simen.

“Bimbang masalah kemalangan semakin berlaku pihak penduduk dan surau Nur Hidayah di sini telah membelanjakan RM5,000 bagi menampung lubang yang terdapat sepanjang jalan itu.

“Kami tidak berdaya bagi membaiki sepenuhnya jalan itu apatah lagi dengan kosnya sangat tinggi bagi kerja menampung lopak di jalan itu,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna, Harun Ismail, 54, berkata, keadaan yang berlopak serta berlubang itu seolah-olah menjadi perangkap kepada pengguna di sepanjang jalan terbabit.

Katanya, setiap kali pemandu yang melalui kawasan berlopak itu berselisih dengan kenderaan lain, mereka nyaris terjatuh ke dalam tali air kerana mahu mengelak lubang terbabit.

“Seorang pemandu wanita nyaris terjatuh bersama kenderaannya ke dalam tali air selepas cuba mengelak lubang yang terdapat di jalan itu. Malah ramai pengguna turut merungut kenderaan mereka semakin rosak apabila terjatuh ke dalam lopak.
“Masalah ini semakin serius apabila di waktu puncak ramai yang melaluinya terutama pelajar sekolah berdekatan. Difahamkan beberapa kemalangan membabitkan pelajar sekolah turut berlaku hingga cedera dan terpaksa di bawa ke klinik berdekatan,” ujarnya.

Tambah Harun, masalah semakin serius pada waktu malam apabila sepanjang jalan itu tiada lampu hingga kenderaan banyak terjatuh ke dalam lopak sepanjang jalan itu.

“Masalah ini pernah diadukan kepada Mada supaya mereka dapat membaiki jalan yang rosak, tetapi sehingga kini belum ada sebarang tindakan dilakukan. Kami harap pihak berkenaan dapat baiki jalan itu supaya tiada lagi yang menjadi mangsa,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya