KULIM: Walaupun hilang penglihatan, seorang bekas anggota tentera tidak merasa satu beban baginya apabila dilantik menjadi ketua tukang masak.
Juhaidi Ahmad, 48, bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) reda dengan apa yang berlaku ke atas dirinya, namun tetap ingin terlibat dalam aktiviti yang dilakukan penduduk setempat melalui kemahiran yang dimilikinya.
Katanya, dia minat memasak dan sebelum ini memiliki sebuah restoran makanan barat selepas berhenti daripada perkhidmatan dengan angkatan tentera.
“Saya seorang yang normal namun disebabkan komplikasi penyakit kencing manis yang dihidapi sejak lebih 10 tahun lalu, keadaan semakin teruk sehingga penglihatan saya hilang tahun lepas.
“Mata saya mulai rabun pada 2018 dan sejak itu saya mula menjalani rawatan dan dalam tempoh menjalani rawatan, saya juga sering terbabit dengan aktiviti memasak di majlis kenduri dan program masyarakat jika mendapat jemputan,” katanya ketika ditemui di Surau Nurul Hidayah, Taman Seri Kulim, semalam.
Juhaidi berkata, setiap kali dianjurkan majlis korban atau apa-apa majlis jamuan di surau tersebut sejak lima tahun lalu, dia akan menjadi ketua tukang masak.
Jelasnya, walaupun dia tidak nampak, petugas di bahagian dapur akan bertanya dan memaklumkan kepadanya tentang masakan.
“Saya akan memaklumkan kepada mereka bahan apa yang perlu dimasukkan ke dalam kuali serta langkah seterusnya,” ujarnya.
Katanya, antara menu yang sering menjadi permintaan adalah gulai daging batang pisang, nasi minyak, daging kurma serta pelbagai lagi resepi lain. –UTUSAN ONLINE