Inovasi, kreativiti bantu Utusan Malaysia kekal relevan - Utusan Malaysia

Inovasi, kreativiti bantu Utusan Malaysia kekal relevan

Pramugari, Zulaikha Ariffin, 28, membaca Utusan Malaysia yang dibeli dari mesin layan diri sementara menunggu perkhidmatan e-hailing di Stesen Sentral Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini, 20 Julai genap dua tahun akhbar Utusan Malaysia diterbitkan semula di bawah pengurusan Media Mulia Sdn. Bhd.

Selepas terpaksa menghentikan operasi pada 2019, akhbar berbahasa Melayu ini berhibernasi selama hampir 10 bulan sebelum kembali menemui pembaca dengan pendekatan dan perspektif baharu.

Membawa tema ‘Pemikiran Baharu’, sememangnya mengendalikan perniagaan mencetak surat khabar bukan sesuatu yang mudah di zaman ‘masyarakat skrin’ di mana orang ramai hanya membaca apa yang ada di hujung jari mereka.

Situasi menjadi lebih mencabar dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 yang memaksa orang ramai duduk di rumah dan perniagaan terpaksa ditutup.

Tempoh dua tahun kelahiran semula Utusan Malaysia ini adalah waktu-waktu yang sukar dan mencabar ekoran pandemik tersebut bukan sahaja kepada industri persuratkhabaran, tetapi turut menjejaskan sektor ekonomi lain.

Walaupun kini negara memasuki fasa endemik dengan kehidupan setiap rakyat sudah kembali normal, iklim ekonomi belum pulih ekoran inflasi yang menjejaskan perbelanjaan rakyat.

Dalam situasi sekarang orang ramai amat berhati-hati dalam setiap ringgit yang mereka belanjakan. Dalam situasi ekonomi sekarang adakah mereka sanggup membelanja RM2 untuk senaskhah akhbar atau RM2 itu digunakan untuk benda lain. Namun itu tidak bermakna surat khabar tidak lagi relevan kepada masyarakat. Dengan sedikit suntikan inovasi dan kreativiti, akhbar Utusan Malaysia pasti akan kekal relevan.

Lagi pula ancaman terhadap industri persuratkhabaran sentiasa wujud dari zaman ke zaman. Dari 1950 hingga 1999, misalnya, hasil akhbar meningkat tujuh peratus setahun. Dari 2000 hingga 2006, sebaliknya, ia telah berkembang hanya 0.5 peratus. Kemudian pada suku pertama 2006, pertumbuhan adalah lebih kurang 0.35 peratus. Kini, edaran akhbar di seluruh dunia terus merosot dan sudah banyak judul sudah menamatkan edisi cetak dan berpindah ke platform digital 100 peratus.

“Saya mempunyai keyakinan 100 peratus bahawa organisasi media arus perdana akan bertahan. Isu yang paling sukar ialah tempoh peralihan (daripada cetakan ke dalam talian). Setelah penghijrahan selesai, kos pengedaran yang lebih murah membolehkan syarikat media membiayai lebih daripada membiayai sumber pengumpulan berita.

“Jumlah kos editorial untuk kebanyakan akhbar hanyalah 15 peratus daripada jualan, jadi sumber editorial semasa boleh bertahan pada asas hasil yang jauh lebih rendah,” demikian kata Penganalisis Media Deutsche Bank, Paul Ginnocchio.

Sempena dengan ulang tahun kedua kembali ke pasaran, akhbar Utusan Malaysia terus berinovasi di mana akhbar ini kini boleh dibeli melalui mesin layan diri. Buat permulaan orang ramai boleh membeli akhbar terbitan Media Mulia Sdn. Bhd. menerusi khidmat mesin layan diri di tiga lokasi strategik di Lembah Klang iaitu KL Sentral, Stesen LRT Bangsar dan LRT Ampang Park.

Mesin tersebut merupakan program perintis dengan kerjasama Atlas Vending, pengendali mesin layan diri makanan dan minuman (F&B) terbesar di Malaysia dan Singapura dengan Media Mulia Sdn. Bhd. Dengan mesin layan diri yang beroperasi 24 jam, para pengguna boleh mendapatkan naskhah dua akhbar harian popular ini lebih awal sebelum kedai-kedai dibuka.

Suntikan inovasi turut diberikan pada laman web Utusan Malaysia iaitu utusan.com.my dengan menampilkan pengalaman pembaca yang lebih segar dan lapang.

Wajah dan susun atur laman web ini kini lebih padat dengan berita tetapi pada masa yang sama kelihatan kemas dan menarik untuk tatapan pembaca.

Sebagai menghargai sokongan pembaca, pihak pengurusan Media Mulia turut melancarkan dua buah koleksi buku iaitu Apabila Lampu Dipadam dan Mahligai Air Mata.

Apabila Lampu Dipadam adalah koleksi cerita seram yang pernah disiarkan dalam akhbar Kosmo! dan Mingguan Malaysia. Sementara Mahligai Air Mata adalah koleksi kisah rumah tangga daripada fail mahkamah syariah yang disiarkan di Kosmo!.

Semoga suntikan inovasi dan kreativiti ini serta pelancaran produk baharu akan dapat terus mengekalkan sokongan pembaca terhadap penerbitan-penerbitan di bawah syarikat Media Mulia terutama akhbar Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya