Hidupkan semula Rancangan Buku Hijau - Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Hidupkan semula Rancangan Buku Hijau – Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah negeri Perak iaitu bekas pensyarah, Ahli Jawatankuasa Fatwa Perak dan Ahli Majlis Agama Islam Perak (MAIPk), Datuk As’ad Awang, 65, pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Perak di Ipoh hari ini. -UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Rancangan Buku Hijau yang dilaksanakan semasa Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein perlu dihidupkan semula untuk mengekang kebergantungan keterlaluan negara terhadap bahan makanan import.  

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, program yang dilancarkan pada tahun 1974 itu bukan sahaja perlu dihidupkan semula, malah, gagasan berkenaan wajar dikunjungi dan disuntik nafas baharu bagi mengekang kebergantungan keterlaluan terhadap bahan makanan import.  

“Rancangan Buku Hijau ialah satu gagasan penting untuk mengangkat sektor pertanian tanpa menafikan kepentingan sektor lain.

“Malangnya, wawasan keselamatan makanan yang dirintis oleh Tun Abdul Razak turut dikuburkan bersama jasad Tun Abdul Razak,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Baginda bertitah, ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1970, sektor pertanian negara menghasilkan 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), namun, menurun kepada 10.5 peratus pada tahun 2000.

Titah baginda, jumlah tersebut terus menurun kepada 7.4 peratus pada tahun 2020 dengan sumbangan 48 peratus bernilai RM52 bilion subsektor pertanian makanan.

“Perangkaan pada tahun 2020 menunjukkan 5.3 juta hektar tanah di negara kita ialah tanah pertanian, namun, atas perkiraan komersial, hanya 900,000 hektar menyamai 17 peratus digunakan untuk menghasilkan makanan manakala baki 4.2 juta hektar, menyamai 83 peratus digunakan untuk tanaman kontan komoditi kelapa sawit dan getah.  

“Untuk memenuhi keperluan domestik, dalam setahun Malaysia mengimport 88 peratus daging kambing bernilai RM879 juta, 76 peratus daging lembu bernilai RM2.2 bilion, mangga bernilai RM87.9 juta, kelapa bernilai RM266 juta, walaupun pokok kelapa begitu mudah tumbuh dan berbuah di bumi ini.  

“Kita juga mengimport kopi, bawang, kentang, sotong, susu segar, kubis bulat, cili dan halia,” titah baginda.

Titah baginda lagi, negara hanya menghasilkan 70 peratus beras, 66 peratus buah-buahan dan 48 peratus sayur yang diperlukan rakyat dan pada tahun 2020, Malaysia mengimport beras bernilai AS$620 juta yang meletakkan negara sebagai sembilan negara pengimport terbesar dunia. 

“Permintaan makanan 32 juta penduduk Malaysia ialah permintaan harian yang berterusan, perlu ada gerakan besar-besaran untuk memenuhi keperluan bekalan makanan.  

“Rakyat hendaklah disedarkan, rakyat hendaklah dibawa bersama, membantu menangani memenuhi keperluan bekalan makanan,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya