Hidupkan kembali Wang Kelian - Utusan Malaysia

Hidupkan kembali Wang Kelian

PELANCONG mula memenuhi Pasar Hujung Minggu Sempadan Malaysia-Thailand di Wang Prachan, wilayah Satun, Thailand,baru-baru ini..- UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Ketika suasana di sebelah Thailand berhampiran Pos Imigresen Wang Kelian di sini kembali meriah dengan aktiviti perniagaan pasca pembukaan pintu sempadan, berbeza pula dengan Wang Kelian di sini yang terus suram diibarat ‘pekan mati’.

Tinjauan Utusan Malaysia selama beberapa jam di kawasan pintu masuk antarabangsa yang menghubungkan wilayah Satun, Thailand itu baru-baru ini mendapati tiada langsung gerai jualan yang dibuka di kawasan tersebut.

Pemerhatian di sekitar kawasan arked pekan sehari Wang Kelian pula yang kini dilihat semakin ceria dengan cat berwarna-warni itu juga mendapati tiada kedai dibuka dengan difahamkan dua pengusaha ejen penghantaran barangan sahaja beroperasi di situ.

Kawasan belakang blok arked niaga itu juga masih tidak berubah dengan deretan puluhan gerai usang dipenuhi semak samun yang ditinggalkan pengusaha sebelum ini.

Laluan sepanjang 450 meter dari arked itu ke Pos Imigresen Wang Kelian juga lengang dan suram apabila tiada langsung gerai jualan dibuka sepanjang jarak tersebut.

Suasana suram itu berlarutan hampir tujuh tahun selepas kerajaan mengumumkan penutupan Zon Aliran Bebas pada April 2015 susulan penemuan kubur besar yang menempatkan 139 mayat mangsa pemerdagangan manusia di kawasan itu.

Kira-kira 20 meter dari pintu sempadan di sebelah Thailand, suasana jauh berbeza apabila pengunjung dari dalam dan luar negara memenuhi pasar minggu tersebut.

Deretan perniaga yang menjual makanan, kraftangan, buah-buahan, pakaian dan lain-lain
tidak menang tangan melayan pelanggan sekali gus menikmati kerancakan dan limpahan ekonomi selepas pintu sempadan dibuka.

Seorang pelancong dari Pulau Langkawi, Siti Hawa Mahamad, 50, berkata, dahulu suasana di pasar sehari Wang Kelian tidak kurang meriahnya dengan puluhan bas pelancong datang khususnya pada cuti hujung minggu, namun, kini suasana itu tidak ada lagi.

“Pasar sehari Wang Kelian bukan sahaja menarik pelancong tempatan, malahan pelancong dari negara jiran juga cukup gemar membeli produk tempatan contohnya lampin pakai buang, barangan elektronik dan sebagainya.

“Sebenarnya agak kecewa juga apabila melihat Wang Kelian suram sebegini manakala suasana ekonomi peniaga di Wang Prachan sebelah Thailand pula dilihat semakin rancak,” katanya.

Tambah Siti Hawa, dia berharap kerajaan dapat membuka semula zon aliran perdagangan bebas Wang Kelian-Wang Prachan yang pernah popular satu ketika dahulu.

“Ia memberi impak ekonomi yang positif kepada penduduk sempadan kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga warga Thailand yang ditemui di Wang Prachan, Aishah Che Min, 60, berkata, pembukaan semula zon aliran bebas tersebut dilihat sebagai nilai tambah kepada keunikan pasar minggu sempadan sedia ada.

Katanya, ia juga mampu menarik minat pelancong Thailand masuk ke Malaysia untuk melihat dan merasai sendiri budaya serta suasana beli-belah di negara jiran. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya