PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjur kekal lemah untuk sebahagian besar suku ketiga tahun ini, berlegar di antara RM4,800 hingga RM5,200.
Ia berikutan langkah terbaharu Jakarta membatalkan levi eksport untuk semua produk minyak sawit sehingga 31 Ogos depan dalam usaha negara itu meningkatkan eksport komoditi dan mengurangkan inventori yang tinggi.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, Malaysia tidak dapat mengelak tekanan ke atas harga MSM memandangkan kita sedang berhadapan dengan saingan yang kuat daripada Indonesia iaitu negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia.
Ujarnya, negara itu kini sedang giat berusaha ‘membersihkan’ sebanyak mungkin tangki simpanan bekalan minyak sawit mereka.
“Untuk rekod, harga harian MSM menyusut kepada RM3,631.50 setiap tan atau 24.9 peratus pada 15 Julai lalu daripada RM4,838.50 setiap tan pada 1 Julai 2022.
“Harga MSM yang rendah dipengaruhi pelbagai faktor, antaranya harga minyak kacang soya (SBO) yang lebih lemah disebabkan kurangnya pengeluaran oleh negara-negara pengeluar utama berikutan faktor cuaca dan eksport minyak sawit yang lebih rendah pada Jun 2022 berikutan saingan Indonesia yang melonggarkan larangan eksport untuk menggalakkan penghantaran keluar komoditi berkenaan.
“Selain itu, didorong peningkatan bekalan minyak sayuran dunia susulan keputusan Indonesia melonggarkan larangan eksport minyak sawitnya dan pengeluaran MSM yang lebih tinggi pada Jun 2022 selaras dengan pusingan musim,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Zuraida, melihat sudut positif, sebaik berakhir Ogos 2022, Indonesia akan melaksanakan semula larangan eksport minyak sawitnya bermula 1 September 2022, bersama jangkaan pengeluaran minyak sawit menyusut pada suku keempat 2022, harga MSM bagi suku terakhir tahun ini diunjur kuat boleh menokok kepada antara RM5,000 hingga RM5,500 setiap tan.
Ujarnya, harga MSM meningkat sebanyak 55.9 peratus kepada RM6,330 setiap tan bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 daripada RM4,061.50 setiap tan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
“Harga MSM yang lebih tinggi bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dipengaruhi oleh harga SBO yang lebih tinggi di pasaran global. Harga minyak sawit dipengaruhi oleh prestasi harga minyak sayuran lain, khususnya SBO kerana kedua-dua hasil tani ladang ini bersaing dalam pasaran minyak sayuran dunia.
“Sementara itu, ia didorong stok simpanan minyak sawit kekal pada tahap terurus di bawah 2.0 juta tan bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 dan harga minyak mentah Brent yang lebih kukuh di pasaran global menjadikan minyak sawit pilihan lebih menarik untuk bahan mentah biodiesel, serta kebimbangan mengenai gangguan ke atas bekalan minyak sayuran dari wilayah Laut Hitam susulan pencerobohan Rusia di Ukraine,” ujarnya.
Dari tempoh Jun 2020, katanya, harga MSM mula menunjukkan trend peningkatan, malah antara Januari 2021 hingga Jun 2022 sahaja, harga MSM telah beberapa kali melonjak melampaui rekod harga tertinggi pernah dicatatkan sebelum itu.
“Pihak kementerian giat memantau perkembangan industri sawit dan akan terus memastikan minyak sawit kita, iaitu komoditi utama Malaysia, terus kekal menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi untuk manfaat semua, terutamanya pekebun-pekebun kecil dan pemain-pemain industri di negara kita.
“Saya sendiri telah mengetuai pelbagai misi dagangan ke beberapa negara dan bertemu pemain-pemain industri di sana untuk memberi penjelasan serta meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa mengenai pelbagai manfaat dan kegunaan minyak sawit, selain digunakan sebagai minyak masak,” katanya.
Kementerian menerusi agensi dan majlis di bawahnya juga akan mengadakan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) bermula 26 hingga 28 Julai 2022 di MITEC, Kuala Lumpur yang akan melibatkan penyertaan dari 39 buah negara.
Ia juga merupakan usaha untuk memartabatkan sektor agrikomoditi negara, sekali gus dapat mempromosikan Malaysia sebagai hab antarabangsa bagi aktiviti agrikomoditi. – UTUSAN