PUTRAJAYA: Harga runcit minyak masak sawit dijangka turun dalam waktu terdekat berikutan kejatuhan harga komoditi minyak sawit mentah (MSM) di pasaran global ketika ini.
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pemain industri tempatan bersetuju supaya satu mekanisme penentuan harga yang cepat diwujudkan jika MSM merosot.
Awal bulan ini harga komoditi itu turun kepada hampir RM4,500 satu tan berbanding purata RM6,100 satu tan susulan tindakan Indonesia yang menarik balik larangan eksport dan akan terus turun jika berlaku lambakan MSM.
Namun, ketika ini harga minyak masak sawit tulen dalam botol semakin mahal sehingga mencetuskan kemusykilan para pengguna sendiri.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, keputusan penetapan harga yang lebih rendah itu dicapai menerusi mesyuarat siri kedua pasukan tersebut pada 13 Julai lalu dan melibatkan 20 syarikat.
“Bukan sahaja pengilang, malah syarikat pembungkusan semula juga terlibat supaya pihak jawatankuasa ini dapat gambaran jelas rantaian dan menyemak ketirisan,” katanya.
Dalam pada itu, Annuar memberitahu, dalam tempoh 13 hari bermula 1 Julai lalu, lebih 100,000 kertas penyiasatan dibuka selain siri operasi pencegahan jenayah itu di sempadan negara oleh sindiket tertentu.
Terkini, pihak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan kerjasama polis berjaya membongkar kes penyeludupan minyak bersubsidi yang bernilai RM2 juta dengan sebuah kapal di Sabah.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima jaminan daripada pihak Kementerian Kewangan untuk menyegerakan penyaluran subsidi sebagai proses penambahbaikan sistem. – UTUSAN