KUALA LANGAT: Guruh, hujan dan awan gelap mencetuskan kebimbangan penduduk di Taman Dato’ Hormat, Pulau Carey dan Jalan Pusara, Teluk Panglima Garang di sini yang khuatir kediaman mereka dilanda banjir secara tiba-tiba di luar musim tengkujuh.
Malah, hujan lebat baru-baru ini mengakibatkan banjir kilat melanda kawasan kampung dan perumahan di sana disebabkan parit dipenuhi air lebih-lebih lagi bila cuaca sedemikian dua hari berturut-turut.
Salah seorang penduduk Taman Dato’ Hormat, Khalil Mohd. Atan, 60, berkata, perparitan di kawasan perumahan itu perlu ditambah baik untuk memastikan dapat menampung limpahan air hujan yang berlebihan.
“Banjir besar hujung tahun lalu menyebabkan air naik 0.6 meter menenggelamkan rumah saya. Banjir kilat baru-baru ini pula air melimpah setinggi 0.3 meter menyebabkan banyak harta benda rosak.
“Saya mewakili penduduk di sini berharap pihak berkuasa tempatan mahupun pihak berkuasa lain untuk segera mengatasi masalah banjir yang berpunca daripada sistem saliran yang tidak dapat mengalir lancar kerana parit dipenuhi mendapan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sementara itu, wakil komuniti Kampung Pulau Carey, S.Subramaniam berkata, banjir disebabkan hujan lebat menyebabkan rumah penduduk sekitar kawasan tersebut ditenggelami air hingga 0.4 meter.
Katanya, beliau berharap parit di sepanjang jalan besar menghala ke Pulau Carey dikorek segera lebih dalam kerana ia menjadi punca air melimpah ke dalam rumah penduduk.
“Baru-baru ini banjir kilat menyebabkan air masuk ke rumah penduduk. Mereka terpaksa menggunakan mesin penyedut air untuk membuang air banjir ‘termenung’,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Dr. Abdul Razak Khasbollah kesal dengan pihak berkuasa yang masih belum mempunyai pelan konkrit untuk memastikan air hujan dapat dialirkan terus ke parit besar seterusnya ke sungai.
“Apa yang menyedihkan aliran air hujan lebat yang melimpah menenggelamkan tanaman milik peladang di kawasan Jalan Pusara. Harap penyelesaian jangka pendek diambil untuk membersihkan rumput dan tumbuhan di dalam parit di sana.
“Penyelesaian jangka panjang, pihak berkuasa sepatutnya menyempurnakan prasarana seperti longkang dan kunci air sebelum membenarkan projek perumahan yang tumbuh seperti cendawan di kawasan Teluk Panglima Garang ini,” tegasnya. –UTUSAN ONLINE