Filem Raja Ali Haji pula bakal temui penonton - Utusan Malaysia

Filem Raja Ali Haji pula bakal temui penonton

ZAHIDI Zainul Abidin (tiga kanan) melancarkan Supertele Penanggal Mak Kiah di Lanai Asmara di Putrajaya. -UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhasrat menerbitkan beberapa siri filem bergenre sejarah yang bersifat antarabangsa serta mampu menembusi pasaran global.

Perkara itu ujar Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin, selaras dengan misi Road to Oscars yang dilancarkan awal tahun lalu bagi mengangkat filem tempatan di pentas sejagat.

“Antara dirancang dalam masa terdekat ialah filem Raja Ali Haji kerana tokoh ini ialah legenda pahlawan yang amat terkenal di rantau Nusantara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari selepas melancarkan filem komedi seram, Penanggal Mak Kiah terbitan Darraz Emipre Production Sdn. Bhd. yang bakal disiarkan sebuah stesen berbayar pada Oktober depan.

Road to Oscars diperkenalkan kementerian itu melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada Januari 2021 lalu dengan mengambil kejayaan beberapa negara luar.

Kerajaan menyasarkan filem sedemikian bukan sahaja ditayangkan di seluruh dunia, malah, dicalonkan dalam kategori antarabangsa anugerah berprestij, Academy Awards atau Oscars.

Sejak diperkenalkan pada 1947 dengan penyertaan 133 negara, Malaysia pernah menghantar tujuh judul filem bermula 2004 lalu, namun, tiada satu pun layak dicalonkan ke peringkat akhir.

Jumlah berkenaan ternyata masih amat kecil berbanding negara jiran serantau, Filipina dengan 32 judul diikuti Thailand (28), Indonesia (23), Vietnam (17), Singapura (15) dan Kemboja dengan 10 judul.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata, idea penerbitan filem Raja Ali Haji dicetuskan sendiri oleh menterinya, Tan Sri Annuar Musa setelah balik dari lawatan kerja rasmi di Bangkok baru-baru ini.

“Beliau bukan sahaja pejuang kemerdekaan Indonesia, bahkan pengaruhnya besar di negara ini dengan ramai individu keturunan Bugis menjadi pembesar ternama sejak dahulu,” jelasnya.

Justeru, ujarnya, populariti Raja Ali Haji yang bukan sekadar ulama Islam, tokoh sejarah dan bahasa Melayu itu mampu menarik audien di Indonesia dengan pasaran lebih 200 juta orang.

Filem dengan sentuhan antarabangsa sebegitu, katanya, memerlukan kerjasama pelbagai pihak terutama sejarawan universiti tempatan selain olahan kreatif skrip dan jalan ceritanya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan, pihak kementerian menyediakan banyak insentif kepada penggiat untuk menerbitkan karya berat demi penghasilan produk berkualiti di pasaran.

Sepanjang tahun ini sahaja, jelasnya, 660 permohonan Dana Kandungan Digital (DKD) sudah berjaya melepasi saringan awal sebelum menerima surat setuju tawaran bagi suntikan projek.

Zahidi berkata, sejak 2017 sehingga Jun lalu, sejumlah RM180.8 juta peruntukan telah disalurkan kepada penggiat industri kreatif yang berjaya menerima dana itu untuk pelbagai genre filem.

“Antara kejayaan DKD ialah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang menerima RM1.5 juta pada 2018 lalu dan kini sudah merekodkan kutipan RM53 juta selepas 13 hari tayangan,” ujarnya.

Pencapaian luar biasa itu jelasnya, membuktikan keberkesanan DKD bagi membantu penggiat seni tempatan, malah, filem tersebut mendapat dana pemasaran RM300,000 daripada Finas.

Justeru, beliau berharap syarikat produksi negara ini mengambil kisah inspirasi kehebatan filem itu yang turut menjalani proses suntingannya di Kompleks Studio Merdeka milik Finas sendiri.

Bahkan, kutipan cemerlang pecah panggung filem berkenaan ujarnya, membolehkan Finas tiada masalah menyalurkan pula insentif tayangan cereka yang bernilai sebanyak RM500,000. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya