KANGAR: Program Ekspresi Muzik Jalanan (EMJ) 2022 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyerlahkan lagi kawasan Projek Diraja Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis sebagai sebuah destinasi pelancongan di negeri ini yang semakin terkenal dalam kalangan pelawat dari dalam dan luar negeri.
Program selama sehari yang diadakan di di Dataran Putra, Kampung Hujung Tanjung tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Keberangkatan baginda diiringi sama oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.
Abang Sallehuddin berkata, program tersebut diadakan bertujuan untuk menarik minat dan kesedaran masyarakat untuk memupuk rasa cinta dan bangga kepada bahasa kebangsaan.
“Ia juga dapat mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemuzik jalanan dari segi penghasilan lirik dan gubahan lagu yang bermutu dalam bahasa Melayu, selain menjalinkan sinergi dengan pelbagai pihak demi memartabatkan bahasa Melayu.
“Program yang bermula seawal pukul 8 pagi ini berjaya menarik penyertaan daripada 10 kumpulan pemuzik jalanan dari tiga buah negeri, iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Setiap kumpulan hanya perlu mempersembahkan sebuah lagu yang menjadikan keseluruhan 10 lagu yang dipersembahkan,” katanya pada majlis tersebut di sini baru-baru ini.
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Sahabat Penghibur Jalanan dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perlis.
Kumpulan Pekola Buskers dari Kuala Perlis sendiri muncul sebagai johan pertandingan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 manakala naib johan dimenangi oleh Jiwa Buskers dari Pulau Pinang dan tempat ketiga dimenangi oleh Geliga Buskers dari Kedah.
Selain berangkat ke program EMJ ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan meluangkan masa singgah di Dewan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Kampung Tengah untuk menyaksikan ‘Semarak Bahasa Kebangsaan 2022: Indahnya Bahasaku’ yang menampilkan acara pertandingan Jejak Bahasa, Pertandingan Mewarna Lukisan dan Kuiz Semarak Bahasa dan Sastera.
Baginda turut singgah di lokasi ‘Program Warna Warni Bahasa’ bagi melaksanakan simbolik mengecat dinding sebuah rumah penduduk di Kampung Tandiap sebagai tanda sokongan DBP bagi sama-sama menjayakan lagi projek transformasi diraja.
Dalam pada itu, baginda juga menyantuni ‘Program Santai Bahasaku’ di Anjung Persinggahan Raja, Laman Bunga Raya dan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebelum mengakhiri program dengan beramah mesra bersama para sukarelawan daripada Pasukan Pacuan Empat Roda Malaysia di Gelanggang Futsal Terbuka Pulau Ketam. –UTUSAN ONLINE