KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menolak usul dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bagi membahas mengenai ancaman keselamatan daripada waris Sultan Sulu.
Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya memutuskan menolak usul berkenaan atas alasan ia dikemukakan kurang daripada 24 jam daripada tempoh ditetapkan sebelum Dewan bersidang.
“Saya memutuskan menolak usul tersebut berdasarkan Peraturan 23(2) iaitu permohonan dibuat kurang daripada 24 jam sebelum bermulanya persidangan. Usul ini dikemukakan pada 11.20 pagi jadi, ia tidak memenuhi syarat berasaskan Peraturan 23(2), dengan itu usul ditolak,” katanya dalam persidangan DUN Sabah hari ini.
Kemudian, Mohd. Shafie yang juga Presiden Parti Warisan (Warisan) itu memohon agar DUN Sabah membenarkan isu tersebut dibahaskan pada penghujung persidangan pada Khamis ini kerana perkara ini membabitkan kedaulatan Sabah.
“Umat di negeri Sabah sudah 65 tahun dihantui isu ini. Saya bukan mengiktiraf waris Sultan Sulu tapi, perkara ini membabitkan perundangan.
“Saya juga akan membawa isu ini ke Parlimen minggu depan. Perkara ini penting kepada negeri Sabah,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu berkata, Dewan perlu membahaskan isu berkenaan kerana ia berkaitan dengan rakyat Sabah bukan rakyat di Semenanjung Malaysia maka, perlu untuk usul itu dibahaskan kerana berhubung kait dengan kedaulatan sempadan negeri Sabah.
Kadzim berkata, isu tersebut sesuai disuarakan Mohd Shafie selaku Ahli Parlimen Semporna ke Parlimen memandangkan ini berkaitan isu persekutuan dan ia harus ditangani oleh Persekutuan.
Tambahnya, beliau telah meneliti hansad sejak 1963, tiada isu mengenai kesultanan Sulu dibincangkan di DUN Sabah. – UTUSAN