DBKL akui selamatkan 1,845 gelandangan - Utusan Malaysia

DBKL akui selamatkan 1,845 gelandangan

Seorang gelandangan tidur di Jalan Masjid India
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya mengurangkan kadar ‘sahabat jalanan’ di sekitar bandar raya melalui operasi menyelamat gelandangan bersama agensi dan jabatan-jabatan berkaitan.

Setakat ini, kira-kira 1,845 gelandangan berjaya diselamatkan di pusat-pusat perlindungan yang disediakan serta dilatih dengan pelbagai kemahiran.

Datuk Bandarnya, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan golongan tersebut dapat menjalani kehidupan biasa dan dihantar ke Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana (Anjung Kelana).

Menurut beliau, golongan gelandangan itu akan diberi pelbagai kelas latihan di Anjung Kelana supaya dibekalkan dengan kemahiran dan bersedia untuk menjalani kehidupan selepas keluar daripada pusat tersebut.

“Operasi menyelamat gelandangan yang diadakan secara berkala ini dilihat mampu membantu golongan itu untuk kembali ke landasan kehidupan normal selepas dibawa masuk ke pusat itu untuk menjalani pembentukan kemahiran.

“Antara latihannya adalah berkebun, kelas jahitan kasut dan projek aquaponik. Latihan yang diberikan ini adalah sebagai persediaan untuk mereka berdikari sekiranya keluar daripada pusat ini kelak.

“Sehingga kini, terdapat 20 gelandangan di Anjung Kelana, 962 orang di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan 863 orang di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Melalui kaji selidik yang dijalankan oleh DBKL, mereka mendapati golongan tersebut lebih berminat untuk ke lokasi tumpuan warga kota kerana terdapat aktiviti seperti agihan makanan, keperluan asas dan lain-lain yang dilakukan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Mahadi memaklumkan bahawa aktiviti agihan makanan dan keperluan harian itu dilaksanakan oleh DBKL dan NGO yang aktif bagi membantu golongan tersebut mendapat barangan keperluan asas.

“Bagi menangani masalah gelandangan ini daripada terus bertambah, DBKL menyarankan agar NGO yang aktif dalam aktiviti agihan makanan siap masak kepada golongan ini untuk bekerjasama dengan DBKL.

“Menerusi kerjasama ini, bantuan kepada golongan ini dapat disalurkan dengan lebih teratur dan tersusun serta bandar raya Kuala Lumpur akan kekal bersih,” jelanya.
Tambahnya, pihak majikan turut dialu-alukan untuk mengambil golongan tersebut selepas keluar daripada pusat supaya dapat sama-sama membantu mereka menjalani kehidupan di luar.

“Pihak majikan yang berminat  dipelawa untuk membantu golongan ini dengan menawarkan peluang pekerjaan supaya mereka dapat keluar dari kepompong kehidupan sedia ada,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya