JEMPOL: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol di sini membantu mengangkat seorang lelaki menghidap obesiti dari rumahnya di Kampung Ladang Geddes ke Hospital Jempol pagi tadi.
Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol, Mohd. Ikram Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak Kementerian Kesihatan bagi membantu mengangkat lelaki berusia 59 tahun itu yang mengalami masalah kesihatan.
“Kamin menerima panggilan daripada pihak Kementerian Kesihatan pada pukul 10.25 pagi dan tiba di lokasi setengah jam kemudian.
“Tindakan anggota penyelamat adalah mengusung pesakit dengan menggunakan pengusung dan menghantar pesakit yang dianggarkan seberat 150 kilogram itu dengan menaiki lori jenis Hicom ke Hospital Jempol.
“Kami mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk mengusung mangsa. Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol terlibat,” katanya hari ini.
Menurut Mohd. Ikram, bantuan mengangkat individu obesiti merupakan kali kedua diterima pihaknya di daerah ini pada tahun ini. –UTUSAN ONLINE