Bila sudah tua, yang tinggal hanya harga diri… - Sarimah Ibrahim - Utusan Malaysia

Bila sudah tua, yang tinggal hanya harga diri… – Sarimah Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAMA juga kami berbual. Soalan demi soalan disambut dengan senyuman. Tidak ada raut bosan atau penat. Itulah Che Puan Sarimah Ibrahim. Seorang anak seni yang kita bangga katakan, cukup versatil.

Pertemuan kami dirancang beberapa hari sahaja sebelum sesi fotografi. Dia memudahkan semua. Tatarias, busana semua dia uruskan sendiri. Lebih mudah kerana dia tahu kemahuan hati.

Lantas saya terus layangkan soalan pertama. Benarkah industri seni ini satu sekolah yang mematangkan manusia? Atau sisi gelap industri seni lebih menggoda sehingga ramai yang sesat dalam gemerlapan populariti dan pujian?

Tidak tunggu lama, wanita besi berusia 44 tahun ini terus melontarkan jawapan;

“Dunia seni ini, semua orang kena pakai topeng dan memainkan pelbagai watak serta perangai. Termasuk saya sendiri. Tetapi bila balik rumah, kita buka topeng dan yang ada, cuma diri sendiri. Siapa kita sebenarnya.

“Tetapi sebenarnya ini berbalik kepada diri kita. Kita sendiri faham kelemahan dan kekuatan diri sendiri. Industri seni ini boleh memberi kehidupan yang baik untuk kita, tetapi cara ‘gunakannya’ yang menjadi persoalan,” katanya.

Saya menyambut lontaran jawapan itu dan bertanya, apa maksud ‘menggunakan’ industri seni ini dengan baik?

“Kita perlu berpegang kepada prinsip diri. Jangan buat kerja tak senonoh, insya-Allah kita akan bertahan lama. Jangan lupa nilai diri sendiri. Bila sudah tua, tak cantik nanti yang tinggal hanyalah reputasi dan nama.

“Saya pernah ditawarkan dengan kemewahan dunia. Kena ikut producer bercuti untuk dapat job banyak. Tetapi saya tolak itu semua. Alhamdulillah, saya masih di sini. Walaupun tanpa anugerah, saya berdiri bukan atas kontroversi,” kongsinya.

Sepertinya Sarimah banyak memendam cerita. Bagai tertulis satu novel sepanjang 25 tahun dalam dunia seni ini. Begitu kejamkah dunia seni ini?

“Ramai yang menggunakan industri seni sebagai escapism. Mereka mungkin mempunyai masalah peribadi lantas menggunakan status anak seni untuk merasakan diri besar dan berjaya.

“Tetapi jauh di sudut hati, mereka masih memendam trauma itu. Kalau kita desperate sangat nak popular, nak dipuji dilambung, kita akan melingkup. Sebab itu bukan kejayaan sebenar,” katanya pelakon Janji Diana ini.

Bukan tak mahu, tunggu yang berbaloi
Membuka gelanggang bicara tentang kerjaya seni, ramai yang bertanya, mengapa sukar melihat kelibat Sarimah Ibrahim di layar kaca. Adakah dia sukar didekati? Atau terlalu ‘mahal’ untuk disunting?

“Bukan saya tak mahu atau memilih projek, tetapi jujurnya saya dah buat bermacam macam jenis program. Sudah 25 tahun tau. Bukan malas nak buat sebab status atau apa, cuma saya tunggu yang betul-betul berbaloi.

“Maksud mahal itu? Bagi saya, bayaran kenalah setimpal dengan kualiti kerja yang diberi. Nak kata demand, tak tahulah. Kita perlu menghargai bakat yang ada. Kena adil. Jangan anak tirikan pemain industri dengan bayaran murah,” ujarnya.

Sarimah juga menambah, bukan kerana status atau halangan suami yang membuatkan dia sukar menerima tawaran, cuma biarlah ‘kembalinya’ di dalam satu-satu program memberi impak kepada masyarakat.

“Suami tak pernah halang atau kongkong pun. Cuma dia pesan, jangan terlalu penat. Saya mahu menyumbang kembali kepada masyarakat. Berkongsi ilmu yang saya ada,” kata pengelola program The Sarimah Show ini.

Diajukan soalan tentang lakonan, dia tergelak kecil.

“Berlakon itu tak pastilah. Kalau ada tawaran watak yang saya suka, mungkin akan diterima. Sebenarnya saya berperang dengan masa. Kalau ada kesempatan, watak menarik yang lebih matang, why not kan?

“Sekarang kita di fasa endemik dan kerja pengacaraan majlis-majlis korporat juga back to back tau. Jadi memang masa kadang tidak mengizinkan. Saya perlu luang masa juga untuk suami dan anak,” ujar penyanyi Kini Kau Tiada ini.

ALTY dan Zamani
Umum mengetahui Sarimah menyimpan pelbagai cerita berhubung kait dengan masalah mental. Malah, dia juga mendedahkan pernah kemurungan selepas melahirkan puterinya, Tunku Sofia Najihah dua tahun lalu.

Menyandang tugas sebagai speaker, spokesperson kepada pelbagai pertubuhan kesihatan, terbaharu, isteri kepada Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar ini dilantik sebagai duta sebuah hospital pakar ortopedik, ALTY Orthopaedic Hospital.

“Apabila saya ditawarkan sebagai duta ALTY, saya fikir masyarakat perlu didedahkan dengan sakit tulang belakang, sendi dan otot. Terutama bagi mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

“Usia saya juga sudah mencecah 44 tahun dan saya fikir, ini masa yang sesuai untuk berkongsi ilmu penjagaan kesihatan tubuh badan kepada masyarakat,” katanya.

Sedang asyik berbual, Sarimah juga mendedahkan dia bakal membawa penyanyi bersuara emas, Zamani untuk menjalani pemeriksaan tulang belakang untuk membantu memudahkan proses pembedahan.

“Insya-Allah, minggu hadapan Zamani akan berjumpa dengan Dr. Lim Sze Wei, salah seorang pakar sakit tulang belakang di Malaysia. Saya mahu bantu dia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya