HULU TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menjangkakan bilangan asnaf fakir miskin dalam kalangan penduduk di negeri ini meningkat sehingga 25,000 orang pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan berkata, berdasarkan data semasa, bilangan asnaf fakir miskin di Terengganu ialah seramai 21,197 orang.
Menurutnya, peningkatan golongan asnaf tersebut disebabkan tekanan ekonomi terutama kadar inflasi yang semakin meningkat pada masa ini.
“Kadar inflasi sekarang mencapai 3.4 peratus telah menyebabkan kuasa beli sebahagian rakyat di negeri ini terutama yang bekerja kampung semakin menurun,” katanya selepas menyantuni lima mangsa ribut di Kampung Bukit Kolam, Ajil di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Azrin berkata, Maidam meluluskan peruntukan RM23 juta bagi bantuan sekali bayar kepada keluarga asnaf fakir miskin terbabit.
Jelas beliau, setiap keluarga berkenaan akan menerima bantuan wang tunai antara RM800 dan RM1,000 mengikut bilangan isi rumah.
“Bantuan sekali bayar ini lebih tinggi berbanding maksimum RM700 pada pemberian golongan sama sebelum ini.
“Harapan kita agar bantuan ini yang dijangka akan diagihkan pada bulan depan dapat meringankan beban mereka untuk menangani kenaikan harga barangan pada waktu ini,” katanya.
Ahmad Azrin juga tidak menolak kemungkinan bantuan sekali bayar daripada peruntukan zakat itu akan dilakukan lagi kepada golongan terbabit pada masa hadapan mengikut keperluan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Maidam turut memperuntukkan RM27,600 bagi membantu 90 keluarga di enam perkampungan di Ajil di sini yang menjadi mangsa ribut pada awal bulan lalu.
“Maidam juga meluluskan peruntukan lebih RM100,000 bagi membantu mangsa ribut di Besut yang bakal diagihkan pada masa terdekat.
“Selain ribut, Maidam juga sentiasa membantu rakyat Terengganu yang ditimpa musibah kehilangan rumah akibat kebakaran menerusi peruntukan sumber am,” katanya. –UTUSAN ONLINE