Aidiladha bersama masyarakat Melayu Champa Kemboja - Utusan Malaysia

Aidiladha bersama masyarakat Melayu Champa Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penulis buat kali pertama dapat menyertai ibadat korban dengan penduduk Melayu Islam Champa di bumi Kemboja pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Peluang ini diperoleh apabila penulis menyertai ibadat tersebut bersama dengan lima dermawan dari Jerantut, Pahang, iaitu Abdul Rafiq Fateh Mohamad, Kamaruddin Ariffin Idris, Datuk Ahmad Nazlan Idris, Yusof Che Daud dan Amir Hamzah Nordin mewakili keluarga masing-masing telah menyumbangkan 12 ekor lembu untuk disembelih sempena Hari Raya Aidiladha di tujuh buah kampung pedalaman di Kemboja.

Sumbangan ternakan untuk majlis korban itu kepada penduduk di Kampung Mimai Lek, Kampung Mimai Ket, Kampung Samkom, Kampung Pasit, Kampung 10.8 dan Kampung Chimaan terletak di daerah Ponyekrek, Wilayah Tbongkhmom, Kemboja, manakala sebuah lagi, Kampung Thanh Binh di negara Vietnam berdekatan sempadan Kemboja pada hari kedua Aidiladha.

Kembara majlis korban di daerah Ponyekrek melibatkan perjalanan hampir 100 kilometer kerana kedudukan setiap buah penempatan orang Melayu Champa antara jarak 15 hingga 20 kilometer di samping kesukaran menempuh laluan tanah merah dan cuma jalan berturap tar berdekatan dengan Kampung Chimaan.

Perjalanan kami menjelajah kampung pedalaman daerah Ponyekrek hanya menggunakan kereta jenis Toyota milik Imam Masjid Diyauttin Kampung Chimaan, Rumly Yusof, 41, manakala dua orang daripada rakan terpaksa menyewa motosikal.

Setelah mendarat di lapangan terbang Bandar Raya Ho Chi Minh, Vietnam kami terus menempuh perjalanan sukar serta tidak selesa hampir lima jam menuju ke sempadan Vietnam – Kemboja, kemudiannya menyelesaikan urusan imigresen kedua negara tersebut, sebelum disambut serta dibawa oleh Rumly ke sebuah pusat inap di Kampung Chimaan dalam perjalanan hampir 10 kilometer.

Kesukaran yang kami tempuh untuk tujuan korban di samping berhari raya di negara asing untuk memperoleh keredaan Allah SWT sekali gus menuntut keikhlasan antara sifat paling utama dalam setiap ibadat yang dilakukan.

Hal ini selari dengan firman Allah dalam surah al-Hajj, ayat 37, bermaksud, “Daging dan darah binatang korban itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah. Tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Dia memudahkannya untuk kamu supaya kamu membesarkan Allah atas hidayat-Nya kepada kamu. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat kebaikan”.

KEMBARA KORBAN
Tiba Ahad, kami bersama dengan kira-kira seramai 500 orang ahli kariah Masjid Diyauttin Kampung Chimaan menunaikan solat sunat Aidiladha dan khutbah dibaca serta solat hari raya diimamkan oleh Rumly yang juga ketua masyarakat mewakili enam buah kampung di daerah tersebut.

Kami disambut oleh ahli kariah di situ dengan mesra dan wajah mereka nampak ceria, tetapi kesukaran berkomunikasi membataskan perbualan cuma terdapat lima orang sahaja penduduk Melayu Champa di situ fasih berbahasa Melayu termasuk Rumly kerana masing-masing pernah datang mencari rezeki di Malaysia dan belajar tahfiz di Selatan Thailand.

Selepas solat sunat Aidiladha, bermulalah kembara korban di enam buah kampung di pedalaman daerah Ponyekrek dengan singgahan pertama di Kampung Mimai Lek, kemudiannya terus ke Kampung Mimai Ket, Kampung Samkom, Kampung Pasit, Kampung 10.8 dan terakhir pada sebelah petang di Kampung Chimaan tempat kami bermalam.

Untuk makluman, lembu untuk ibadat korban telah diuruskan pembeliannya oleh Rumly daripada penternak Kemboja yang beragama Buddha menjalankan ternakan di daerah itu setelah menerima kiriman wang daripada dermawan Jerantut, Pahang sebelum Aidiladha.

Oleh kerana perjalanan yang jauh, rombongan kami cuma menyerahkan ternakan lembu termasuk akad mewakili keluarga masIng-masing kepada imam masjid kampung tersebut dan kemudiannya disembelih oleh Rumly, manakala kerja melapah serta pengagihan daging dilakukan dengan kerjasama jawatan kuasa masjid serta penduduk di situ.

SETAHUN SEKALI

Ketika berpeluang menyambut Aidiladha di negara luar, penulis dan rakan dapat memperoleh pengetahuan dan pengalaman suka duka kehidupan masyarakat Melayu Islam Champa di situ. Banyak pengalaman yang meruntun perasaan sayu dan simpati dengan nasib ahli kariah tersebut.

Menerusi cerita Rumly, sepanjang perjalanan ke kampung tersebut, penduduk di situ cuma dapat menikmati daging korban setahun sekali sahaja, iaitu ketika sambutan Aidiladha sebelum ini malahan sejak dua tahun lalu langsung tidak ada ibadat korban kerana ancaman pandemik Covid-19.

Tambah Rumly, penduduk Melayu Champa di situ dan beberapa buah kampung lain di daerah Ponyekrek tidak menjalankan ibadat korban kerana tanpa bantuan luar berikutan ancaman pandemik Covid-19 dan penutupan sempadan antarabangsa.

“Inilah detik (dua tahun) yang cukup memilukan kerana penduduk miskin di sini tidak dapat menikmati daging korban daripada sumbangan luar, khususnya pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu daripada Malaysia,” jelasnya.

Menurut Rumly, ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha kebanyakan penduduk Islam di situ termasuk daerah lain tidak mampu membeli daging lembu untuk juadah keluarga dan tetamu kerana harganya mahal, iaitu RM35 atau 32,180.05 Riel Kemboja (KHR) berat sekilogram.

“Sekiranya penduduk perlukan daging lembu, mereka terpaksa ke bandar yang agak jauh serta memakan masa dan menanggung kos pengangkutan yang tinggi.

“Di kampung ini dan berdekatan tidak ada peniaga atau orang Islam yang menyembelih lembu untuk dijual kerana ternakan ini kebanyakannya dimiliki oleh penduduk tempatan (Kemboja) yang beragama Buddha,” katanya.

Katanya, sebelum Aidiladha, dia sendiri akan menguruskan pembelian ternakan korban antara harga RM2,500 hingga RM3,000 seekor serta dihantar (diagih) ke setiap buah kampung di daerah itu apabila menerima wang daripada penderma di Malaysia.

“Mana mampu penduduk di sini hendak membeli lembu untuk majlis korban kerana rata-rata kami hidup susah yang cuma memperoleh pendapatan bulanan tidak kurang daripada RM500 dan di bawah kategori paras kemiskinan,” katanya.

Dia berkata, sumbangan dermawan dari Malaysia mampu mengubat kepiluan dan kesusahan penduduk Melayu Champa yang miskin di daerah itu dalam tempoh sementara sahaja setelah menerima agihan daging korban sempena Aidiladha.

Jelasnya, keikhlasan para dermawan disambut dengan penuh syukur oleh penduduk Melayu Champa malah sejajar dengan firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 36, bermaksud,”Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur”.

SYUKUR
Rakannya, Imam Masjid Kampung Mimai Ket, Ashaari Adam, 66, menambah penduduk di situ agak teruja apabila diberitahu rombongan dermawan dari Pahang untuk menyumbangkan lembu korban.

“Saya dan penduduk di sini sangat bersyukur kerana dapat menikmati daging korban tahun ini setelah dua tahun ibadat (korban) tidak dilakukan di sini kerana ancaman Covid-19.

“Kami di sini sangat susah untuk membeli daging lembu kerana hasil pendapatan sangat kecil” katanya.

Dia sangat berharap supaya ada para dermawan dan NGO dari Malaysia yang dapat menyumbangkan ternakan setiap tahun untuk majlis korban di situ.

Ashaari sebagai imam kepada 130 ahli kariah kampung tersebut turut merayu dermawan dan NGO dari Malaysia menyumbangkan dana untuk membina telaga tiub di situ bagi kemudahan bekalan air bersih.

Dalam pada itu, ketua rombongan, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, usaha menerusi ibadat tersebut dilakukan apabila dia dan rakannya mengetahui mengenai kemiskinan penduduk Melayu Champa di pedalaman daerah Ponyekrek menerusi Imam Masjid Diyauttin Kampung Chimaan, Rumly Yusof yang dikenali sejak lima tahun lalu ketika bertemu di Kampong Cham berdekatan Phnom Penh semasa melakukan ibadat korban di situ.

“Mendengar cerita Imam Rumly, saya bersama rakan dari Jerantut terpanggil dengan bersepakat untuk menderma ternakan (menerusi bantuan Rumly) supaya dapat melakukan ibadat korban kalangan penduduk kampung tersebut selepas pandemik Covid-19 pulih.

“Hati diruntun hiba serta juraian air mata ketika takbir dan tahmid hari raya bergema apabila menyaksikan sendiri kesusahan serta kemiskinan sebilangan penduduk pedalaman daerah Ponyekrek, Wilayah Tbongkhmom lebih lagi mereka memberitahu tidak mampu berbelanja serta sukar menikmati daging lembu lantaran pendapatan yang kecil,” katanya.

Ahmad Nazlan berkata, dia bersama rakannya sedang merancang mengumpul dana untuk sumbangan bagi projek telaga tiub di beberapa buah kampung daerah tersebut kerana penduduk di situ juga berdepan ketiadaan air untuk keperluan harian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya