KUALA LUMPUR: Ahli Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) kini boleh membeli produk insurans dan takaful yang merangkumi perlindungan hayat serta penyakit kritikal pada premium yang berpatutan daripada Akaun 2.
Ia berkuat kuasa serta merta dan ahli yang ingin membeli produk insurans serta menyertai produk takaful yang ditawarkan oleh syarikat insurans dan pengendali takaful yang diluluskan KWSP boleh melakukannya melalui platform i-Lindung yang terkandung dalam portal i-Akaun (Ahli) KWSP.
Syarikat insurans dan pengendali takaful itu adalah FWD Takaful Berhad, Prudential Assurance Malaysia Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad, Etiqa Life Insurance Berhad dan Etiqa Family Takaful Berhad.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, platform yang diperkenalkan KWSP itu dapat membantu ahli mendapatkan perlindungan bagi menghadapi situasi yang tidak diduga dan di luar kawalan.
“Harga yang ditawarkan juga amat berpatutan dan tidak akan membebankan ahli menerusi syarikat insurans dan pengendali takaful yang disediakan dalam platform KWSP.
“Itu merupakan satu titik tolak yang penting bagi melindungi rakyat Malaysia serta keluarga masing-masing daripada risiko kematian, kehilangan upaya secara menyeluruh dan penyakit kronik.
“Pelan tersebut dapat menggantikan pendapatan atau menyediakan simpanan tambahan sekiranya ahli menghadapi sebarang musibah. Paling penting, perlindungan ini boleh diperoleh dengan sumbangan premium berjumlah beberapa ringgit sebulan menerusi syarikat insurans dan pengendali takaful dalam platform KWSP,” katanya dalam ucapan semasa majlis perasmian i-Lindung, semalam.
Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir berkata, Pelan Perlindungan Ahli adalah satu lagi kejayaan KWSP menyediakan saluran perlindungan sosial dan keselamatan kewangan kepada ahlinya sekira berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.
“Perlindungan melalui insurans atau takaful adalah antara komponen utama bagi kesejahteraan kewangan yang KWSP menggalakkan ahli untuk mendapatkannya bagi melindungi mereka daripada ketidaktentuan kewangan.
“Kemudahan i-Lindung amat bermanfaat untuk ahli KWSP mendapatkan perlindungan insurans serta takaful kerana pihak KWSP bersama-sama pihak syarikat insurans dan pengendali takaful ingin memastikan produk yang ditawarkan kepada ahli adalah pada kadar yang sangat mampu milik,” katanya.
Platform layan diri i-Lindung, yang boleh diakses pada bila-bila masa, membolehkan ahli mendapatkan maklumat produk sedia ada berserta harga dan memperoleh sebut harga sebelum melakukan pembelian pada bila-bila masa, di mana juga.
Ahli di bawah umur 55 tahun yang mempunyai baki yang mencukupi dalam Akaun 2, warganegara Malaysia dan pengguna i-Akaun layak untuk membeli produk di bawah i-Lindung.
Mereka yang berumur 55 tahun ke atas juga boleh membeli produk di bawah i-Lindung, dengan syarat mereka berada dalam lingkungan umur kelayakan produk berkaitan serta mengekalkan jumlah minimum RM100 dalam Akaun 55 atau Akaun Emas.
Maklumat lanjut mengenai Pelan Perlindungan Ahli i-Lindung boleh dirujuk menerusi saluran komunikasi rasmi KWSP melalui laman web www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000. – UTUSAN