KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar kesucian semua agama supaya sentiasa di pelihara dan dihormati pada setiap masa.
Titah Seri Paduka Baginda, setiap pihak harus menjaga kata-kata supaya tidak menghina sebarang agama atas alasan kebebasan bersuara.
“Jangan sekali-kali kita memperkecil, menghina dan mempersendakan agama semata-mata atas nama kebebasan bersuara.
“Agama bukanlah merupakan satu perkara untuk bergurau senda dan dijadikan bahan jenaka,” titah Baginda semasa berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2022/1444 Hijrah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Titah Baginda tersebut dipercayai berkaitan daripada pelbagai kes yang melibatkan beberapa individu mengeluarkan kata-kata hinaan kepada agama Islam di tempat umum dan media sosial.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan perasaan khuatir jika perbuatan menghina agama akan memecah belahkan negara yang berpaduan dengan pelbagai kaum dan agama.
“Beta khuatir perbuatan sedemikian bakal menyemarakkan api perkauman dan meruntuhkan ikatan perpaduan antara semua kaum yang telah terbina semenjak sekian lama,” titah baginda.
Titah Seri Paduka Baginda, seluruh rakyat Malaysia perlu sentiasa memelihara nikmat dan rahmat sebuah negara aman serta menjauhi perkara-perkara yang boleh menyebabkan perpecahan perpaduan.
“Justeru, mengambil keberkatan kedatangan tahun baharu Hijrah ini, beta ingin menyeru kepada seluruh rakyat beta untuk memelihara nikmat dan rahmat sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat ini.
“Semoga Allah Subhanahu Wataala menyinari hati dan sanubari kita dengan semangat perdamaian, menghindari dari sifat-sifat yang boleh mengundang perpecahan dan melindungi negara yang disayangi ini dari sebarang musibah serta bahaya,” titah Baginda. –UTUSAN ONLINE