PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada empat Ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara yang baharu di Istana Negara.
Wisma Putra memaklumkan, ketua-ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara yang terlibat dilantik adalah Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Lim Juay Jin; Duta Besar Malaysia ke Jepun, Shahril Effendi Abd Ghany; Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar.
Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sementara itu, nama Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang dikatakan akan menerima watikah sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia tidak disebut dalam kenyataan tersebut.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan penerimaan watikah Tajuddin sebagai duta ditangguhkan ke suatu tempoh lain sekali gus menolak dakwaan yang mengatakan beliau digugurkan daripada jawatan berkenaan.
Jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia kosong sejak Zainal Abidin Bakar yang dilantik pada 21 Mac 2019, bersara pada 4 April 2021. – UTUSAN