KLANG: Lebih 6.4 tan metrik anggota badan haiwan liar seperti gading gajah, tanduk badak sumbu, sisik tenggiling, taring harimau, tengkorak, tanduk dan tulang haiwan lain dianggarkan bernilai RM80 juta di rampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 10 Julai lalu.
Rampasan tersebut dianggap yang terbesar oleh jabatan itu ketika membuat pemeriksaan ke atas sebuah kapal yang dipercayai datang dari salah sebuah negara di Afrika.
Kapal terbabit dipercayai menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum membawa enam tan metrik gading gajah, 300 kilogram (kg) tengkorak serta tulang haiwan, 100 kg sisik tenggiling, 29 kg tanduk badak sumbu dan 14 kg tanduk haiwan lain.
Ini bermakna, lebih 100 ekor gajah dan 10 ekor badak sumbu terkorban akibat aktiviti pemburuan atau penemuan bangkai haiwan tersebut berdasarkan berat gading gajah dan tanduk badak yang dirampas pihak berkuasa itu.
Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Zazuli Johan berkata, anggota haiwan sedemikian mempunyai permintaan dalam pasaran apabila dijual pada harga RM288,000 bagi satu kg tanduk badak sumbu, manakala satu kg taring harimau pula bernilai RM10,000 dan RM8,000 bagi gading gajah.
“Kita sedang mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mengenal pasti tengkorak, tanduk dan tulang haiwan lain yang belum dikenal pasti. Kita tidak menahan mana-mana individu dalam operasi ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Beliau menambah, ketika pemeriksaan, kapal tersebut dipercayai sedang dalam perjalanan ke Pasir Gudang, Johor, namun, beberapa anggota daripada Pasukan Operasi Darat JKDM memantau pergerakannya.
“Semasa pemeriksaan awal ke atas kapal terbabit, terdapat tiga buah kontena yang berisi kapal gergaji, namun, ketika pemeriksaan lanjut dibuat JKDM menemukan semua anggota badan haiwan berkenaan di dalamnya,” jelasnya.
Zazuli menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengimport barang tak berkastam atau apa-apa barangan larangan dan jika sabit kesalahan pihak tertuduh boleh didenda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi.
“Kita turut menyiasat pengimport dan ejen perkapalan kapal terbabit,” tegasnya.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Zazuli memaklumkan bahawa JKDM Zon Tengah, Unit 11 (Selangor) berjaya menyelesaikan 106 kes dengan jumlah duti/cukai yang terlibat dianggarkan RM13.79 juta. –UTUSAN ONLINE