34 premis dihurung lipas, lalat, tikus diarah tutup  - Utusan Malaysia

34 premis dihurung lipas, lalat, tikus diarah tutup 

SEBAHAGIAN premis makanan yang diperiksa JKNS dalam operasi itu di Shah Alam, Selangor, kelmarin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan 34 premis makanan yang membiarkan hurungan lalat serta tikus dan lipat berkeliaran mengundang padah apabila diarah tutup serta merta, kelmarin.

Kesalahan itu dikesan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) yang melaksanakan Operasi Sanitasi di seluruh negeri ini, bermula kira-kira pukul 6 petang bagi memastikan premis yang beroperasi sehingga lewat malam mengekalkan tahap kebersihan optimum bagi mengelak kes keracunan makanan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, operasi khas itu dijalankan pihaknya bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) antaranya Petaling, Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang.

“Sebanyak 207 premis makanan diperiksa dan 34 diarahkan tutup kerana urungan lipas, lalat dan tikus (LILATI) selain mendapat markah demerit yang amat rendah.

“Sebanyak 263 notis 32B dibawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dengan nilai kompaun RM167,300 dikeluarkan ke atas semua pemilik premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelas Sha’ari, pihaknya mahu memastikan premis itu bebas daripada pencemaran makanan dengan bahan cemar mikrobiologi atau bahan toksik yang membahayakan kesihatan. 

“JKNS sentiasa peka terhadap status keselamatan dan kualiti makanan yang dijual kepada orang ramai khususnya melibatkan aspek kebersihan premis makanan di negara ini. 

“Justeru, kita akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai Operasi Keselamatan Makanan meliputi Operasi Bertema dan Operasi Premis Bersih dan secara berkala,” ujarnya.

Tambah beliau, semua pengusaha makanan diminta sentiasa memastikan premis dan produk jualan mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan berkaitan.

“Pengguna pula dinasihatkan peka dan bijak memilih premis makanan yang bersih dan selamat. Orang ramai disaran menyalurkan maklumat berkaitan premis kotor atau produk makanan kepada PKD terdekat melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) atau Facebook JKNS,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya