LUMUT: Seramai 30 individu termasuk tiga remaja dan tiga warga China didenda oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung dekat sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan penipuan dalam talian dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud.
Majistret A. Hafiizh Abu Bakar menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut masing-masing kepada 27 individu berusia antara 22 hingga 40 tahun.
Beliau turut menjatuhkan hukuman denda RM3,000 setiap seorang atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda kepada tiga remaja berusia 18 tahun dan 19 tahun.
Pada masa sama, tiga lelaki warga China dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kesemua mereka termasuk empat wanita yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin, membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, semua mereka masing-masing didakwa sebahagian daripada pakatan jenayah melakukan suatu perbuatan menyalahi undang-undang iaitu menipu dengan membuat tawaran pekerjaan tidak wujud menggunakan 124 unit telefon bimbit, sembilan unit komputer riba dan 22 set komputer.
Semua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No 1605, Tingkat 12, Desair Apartment, Jalan Lumut di sini, pada pukul 5.45 pagi, 25 Julai lalu.
Pertuduhan di bawah Seksyen 120(B)(2) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurjihan Jaya manakala semua tertuduh diwakili peguam Muhammad Syafiq Salleh dan Tuan Muhammad Arief Tuan Mohamad Yusof.
Terdahulu, dalam rayuannya, semua tertuduh memohon hukuman denda minimum kerana mendakwa mereka dari keluarga kurang berkemampuan dan ditawarkan pekerjaan itu oleh individu tidak dikenali yang membawa mereka ke lokasi tersebut.
Tiga lelaki warga China pula memberitahu mahkamah bahawa mereka terkandas di negara ini disebabkan pandemik Covid-19 dan mereka melakukan pekerjaan itu bagi mengumpul wang untuk kembali ke negara asal.
Media kelmarin melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung membongkar kegiatan empat pusat panggilan pekerjaan palsu sekali gus menumpaskan sindiket penipuan dalam talian selepas menahan 83 individu termasuk 10 warga China di Lumut.
Sindiket itu dilaporkan aktif sejak dua bulan lalu dengan menyasarkan mangsa yang tinggal di luar negara seperti Hong Kong dan England. – UTUSAN