MARANG: Sebanyak 21 projek pemulihan muara sungai dan pengawalan hakisan pantai bernilai keseluruhan RM1.55 bilion diluluskan di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kebanyakan projek tersebut dalam proses pembinaan dan dijangka dapat disiapkan mengikut jadual.
Menurutnya, KASA juga memohon sebanyak 20 lagi projek baharu untuk dilaksanakan di bawah Rolling Plan Ketiga RMK-12 bagi seluruh negeri ini.
Katanya, antara projek tersebut yang yang dalam pembinaan adalah di muara Sungai Merchang berharga RM30.5 juta bermula pada 15 Disember 2021 dan dijadualkan siap pada 14 Disember 2023.
“Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang melibatkan kerja pengorekan alur navigasi dari muara Sungai Merchang sehingga Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, pembinaan struktur pemecah ombak, struktur dinding penahan, lapis lindung dan penyuburan pantai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Projek Pemulihan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Merchang di sini, hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, projek tersebut akan memberi limpahan manfaat kepada para nelayan dan usahawan bot pelancong untuk keluar masuk ke laut dengan selamat.
“Pembinaan projek itu juga melindungi lebih 100 buah bot berdaftar daripada rosak akibat kecetekan muara dan pukulan ombak,” ujarnya.
Selain itu, beliau menambah, Kerajaan Persekutuan juga meluluskan pelaksanaan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Marang dengan kos sebanyak RM15.6 juta.
Jelasnya, projek ini bermula pada 4 Januari 2022 dan dijangka siap pada 1 Januari 2024.
“Skop Projek Pengawalan Hakisan Pantai Marang antaranya adalah kerja penyuburan pantai sepanjang 2.2 kilometer.
“Objektif projek ini adalah untuk menangani masalah hakisan, banjir pantai dan melindungi garis pantai. Justeru, ia akan mengurangkan risiko kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa,” katanya. –UTUSAN ONLINE