PETALING JAYA: Selepas setahun memperkenalkan dasar Family Bond di peringkat global, Volvo Car Malaysia meneruskan usaha menyokong kelayakan cuti paterniti yang saksama, merapatkan jurang antara jantina dan menyediakan peluang yang sama rata untuk pertumbuhan kerjaya.
Dasar Family Bond memberi semua pekerja di pejabat dan kilang Volvo Car Malaysia yang telah bekerja selama minimum setahun dengan cuti paterniti selama 24 minggu, terpakai untuk ibu dan bapa, termasuk ibu bapa angkat dan boleh digunakan pada bila-bila masa dalam tempoh tiga tahun pertama mereka menjadi ibu bapa.
Pengurus CRM di Volvo Car Malaysia, Veena Menon berkata, sebagai ibu kepada tiga orang cahaya mata, dia bersyukur mendapat cuti paterniti berbayar selama 24 minggu apabila melahirkan bayi.
“Saya menghargai kepentingan ikatan awal kasih sayang dalam pembesaran anak dan saya gembira dapat menggunakan manfaat dasar Family Bond untuk membina ikatan dengan bayi semasa tempoh yang paling penting dalam kehidupannya.
“Volvo sentiasa memberi tumpuan kepada insan dan menerusi Family Bond, syarikat memberi peluang kepada ibu dan juga bapa untuk memainkan peranan yang saksama dalam membesarkan anak mereka.
“Dalam sebuah masyarakat yang maju, kesaksamaan jantina adalah sangat penting dan persoalan sama ada seseorang perlu memilih antara kerjaya atau keluarga sepatutnya tidak timbul,” katanya dalam kenyataan.
Family Bond kini ditawarkan untuk lebih 40,000 pekerja Volvo Cars di seluruh dunia termasuk dan sehingga kini, lebih 160 orang pekerja telah menerima manfaat dasar ini di seluruh dunia.
Sementara itu, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Charles Frump berkata, dasar Family Bond menonjolkan budaya dan nilai syarikat.
“Kerajaan Malaysia baru-baru ini mengumumkan penambahan kepada dasar cuti paterniti yang sedia ada. Kini bapa yang bekerja diberi cuti sehingga tujuh hari dan ibu yang bekerja pula sehingga 98 hari. Ini merupakan langkah positif yang dinanti-nantikan dan ke arah hak cuti paterniti yang lebih saksama,” ujarnya. – UTUSAN