PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menegur perangai jelik tetamu yang tular memberi hadiah pelik kepada pengantin baharu.
Beliau dalam nada kesal menyifatkan pemberian hadiah tersebut bukan sahaja memalukan pasangan mempelai, malah memberi malu kepada keluarga dari kedua-dua pengantin.
“Jika hendak memberi hadiah, bagilah benda yang baik dan menggembirakan tetapi kalau tambah keaiban, ia dibimbangi boleh cetus permusuhan pula,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 Agensi Hal Ehwal Islam yang melibatkan seramai 148 petugas daripada empat jabatan berbeza di sini hari ini.
Baru-baru ini tular menerusi wadah media sosial tempatan yang memaparkan aksi tetamu menghadiahkan paket kondom kepada pasangan pengantin dalam satu kenduri perkahwinan.
Meskipun dianggap sebagai jenaka, ramai warganet meluahkan komen yang ternyata kurang bersetuju dengan hadiah itu kerana disifatkan agak keterlaluan dan tidak sepatutnya diberi.
Kelazimannya tetamu memberi sampul yang berisi wang tunai atau barang kelengkapan rumah selain ada mencipta kelainan dengan hadiah kambing hidup atau sebuah motosikal biasa.
Mengulas lanjut, Idris berkata, Rasulullah SAW sendiri menyarankan pemberian hadiah yang tidak mengakibatkan aib kepada si penerima terutamanya pada program kenduri keramaian.
“Konsep hadiah tidak semestinya barang yang harga mahal tetapi cukup sekadar benda elok dan dapat memberi manfaat kepada pengantin selepas majlis persandingan itu,” jelasnya.
Ditanya gelagat segelintir bakal jemaah haji dari negara ini menjual produk di depan Kaabah secara ‘live’ melalui aplikasi media sosial, beliau menganggap individu itu kurang ilmu agama.
Mereka ujar beliau lagi, sepatutnya mengambil peluang menjadi tetamu Allah dengan banyak beribadah dan tidak pula mencampuradukkan urusan duniawi demi kepentingan diri sendiri.
Apatah lagi, katanya, kuota giliran haji untuk musim pada kali ini amat terhad dan perbuatan tersebut tentunya mengecewakan ramai calon yang terpaksa menunggu lama untuk ke tanah suci.
Pada masa sama, tindakan mempromosikan barangan atau perkhidmatan di Masjidil Haram dibimbangi boleh menjejaskan konsentrasi jemaah lain yang sedang tawaf atau solat di situ.
“Dia sepatutnya fokus kepada ibadah kerana diberikan peluang dapat berada di depan Kaabah selain bukannya mudah pergi ke sana dalam tempoh terhad, hanya 40 hari,” tegas Idris. –UTUSAN