UPKO tiada kerjasama di bawah khemah besar Tun Mahathir

UPKO tiada kerjasama di bawah khemah besar Tun Mahathir

EWON BENEDICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hasrat Tun Dr. Mahathir Mohamad yang setuju membentuk khemah besar tanpa Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin tidak menerima sambutan daripada pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata, jika UPKO diberi peluang untuk bekerjasama dengan Parti Perjuang Tanah Air (Pejuang), cukuplah.

Pengalaman bersama Tun Mahathir dalam kerajaan yang lepas membuatkan beliau tidak berhasrat untuk berada satu bumbung di bawah khemah besar bersama bekas Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Pejuang itu.

Beliau berkata, pada masa ini UPKO sudah cukup selesa berada dalam PH Sabah.

Dalam satu sidang media hari ini, 12 wakil rakyat PH Sabah itu menuntut pengisytiharan mahkamah agar hak perlembagaan Sabah ke atas 40 peratus hasil yang perlu dibayar oleh kerajaan Persekutuan dihormati dan dipatuhi.

Enam ahli Parlimen dan tujuh ADUN PH Sabah hari ini memulakan tindakan sebagai plaintif dan menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama manakala, kerajaan negeri Sabah sebagai defendan kedua.

Tindakan undang-undang itu diambil susulan pengumuman yang dibuat pada 14 April oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri setuju semakan semula Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan tidak lagi terpakai dalam pembayaran 40 peratus hasil.

Pendedahan mengenai pendirian kerajaan Persekutuan itu jelas melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita tidak boleh lagi membiarkan pelanggaran hak perlembagaan rakyat Sabah yang berterusan.

“Sekiranya 40 peratus hak Sabah ini dihormati dan diberikan, setiap rakyat Sabah hari ini akan merasai kualiti hidup yang lebih baik dari segi ekonomi dan sosial.

“Kami berpendapat sudah tiba masanya kehilangan dan pelanggaran hak Perlembagaan kita yang berterusan ini dibawa ke mahkamah untuk diadili dan diselesaikan,” kata mereka secara bersama.

Kesemua ahli Parlimen PH Sabah itu ialah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Tuaran), Datuk Christina Liew (Tawau), Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Awang Husaini Sahari (Putatan), Noorita Sual (Tenom), Vivian Wong Shir Yee (Sandakan).

Sementara itu, ADUN pula terdiri daripada Christina Liew (Api-Api), Datuk Frankie Poon (Tanjong Papat), Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kepayan), Tan Lee Fatt (Likas), Peto Galim (Inanam). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN