PUTRAJAYA: Isu kekurangan ikan air tawar yang agak serius di Tasik Kenyir, Terengganu kebelakangan ini dikenal pasti berpunca akibat kejernihannya melebihi kedalaman tiga meter.
Permasalahan tersebut justeru akan dikaji secara mendalam oleh pihak Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) dan kemudian membuat beberapa cadangan untuk dicuba pelaksanaannya.
“Kejernihan ini menyebabkan air Tasik Kenyir tidak produktif dan mengakibatkan tiada sumber makanan semula jadi sebagai diet tambahan untuk ikan,” katanya menerusi laman sosialnya.
Usaha berkenaan ujar agensi itu, bakal melibatkan kepakaran saintis dari Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar FRI Glami Lemi yang ketika ini berpangkalan di Jelebu, Negeri Sembilan.
Pemilihan pusat itu susulan kejayaan awal mereka menerusi projek inovasi Tangki Asuhan Terapung selain Mobile Tilapia Inkubator dan Kacukan Tilapia Berjadual dengan para penternak.
Pencapaian cemerlang itu telah direkodkan di Sungai Como yang bersambung dengan tasik tersebut baru-baru ini apabila berjaya meningkatkan pengeluaran benih ikan tilapia diternak.
Sehubungan itu, FRI bakal meneruskan kerja penyelidikan dan pembangunan bagi mengatasi isu pengeluaran ikan primer yang rendah disebabkan kekurangan nutrien di Tasik Kenyir.
“Pergerakan air yang minimum dan aliran tidak mencukupi dalam penyediaan tahap oksigen secara optimum turut dikenal pasti antara faktor penyumbang masalah di tasik ini,” jelasnya.
Peringkat pertama kajian itu ujar FRI, adalah untuk mendapatkan data asas dinamik kualiti air meliputi rekod fizikal, kimia dan biologi plankton selama 60 jam semasa musim panas kelak.
Kajian yang dilaksanakan itu tambahnya, turut dibantu oleh pihak FRI Tanjung Demong, Besut, Terengganu dengan mendapat kerjasama daripada Pejabat Perikanan Negeri berkenaan.
Agensi itu berharap, selepas segala maklumat saintifik diketahui, pelbagai cadangan aplikasi akan dicuba bagi meningkatkan proses pengudaraan dan mengurangkan suhu air ternakan.
Kaedah berkenaan akan membabitkan penggunaan struktur pelindung di atas sangkar yang diusahakan penternak terlibat dan mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan ikan.
Tasik Kenyir yang diurus oleh pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah memiliki pelbagai spesies ikan sungai termasuk tilapia, kelah, temoleh, sebarau, lampam, terbul dan baung.
Kawasan tadahan air buatan manusia itu yang berkeluasan kira-kira 209,199 hektar terkenal sebagai destinasi agro pelancongan namun dikatakan berdepan serius isu kekurangan ikan. –UTUSAN ONLINE