PENDANG: Sungai Pendang mencatatkan paras bahaya selepas hujan berterusan sejak beberapa hari lepas sekali gus mengakibatkan lima kawasan di sini dilanda banjir.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, antara kawasan terlibat ialah Kampung Sukamari, Kampung Seberang Pendang, Kampung Banggol Kambing, Kampung Hampar Kanan dan belakang Balai Bomba Sukarela Pendang.
“Pihak kami memantau situasi ini ekoran sub lembangan Sungai Pendang dari Sungai Kedah mencatatkan paras bahaya ketika ini.
“Penduduk di lima kawasan berkenaan terjejas apabila air naik di kampung masing-masing. Walau bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka buat masa ini disebabkan tiada mangsa yang terkesan mahu berpindah,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan pemantauan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang di kawasan berpotensi banjir, arus air laju tetapi masih dalam keadaan terkawal di Sungai Pendang.
“Bagi lokasi belakang Balai Bomba Sukarela Pendang, keadaan semasa menunjukkan air belum melepasi tebing sungai dengan paras air Sungai Pendang di paras 2.85 meter (m), namun tiada mangsa terlibat,” katanya.
Tambah beliau, keadaan semasa di Kampung Sukamari mendapati air melepasi tebing sungai dan memasuki halaman rumah berdekatan tepi sungai namun hanya satu rumah terjejas.
Katanya, APM menasihatkan penduduk supaya bersedia dengan kemungkinan untuk dipindahkan ke kawasan selamat jika banjir itu semakin buruk bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini. – UTUSAN