Sumbangan PTPTN-YPM suntik semangat pelajar - Utusan Malaysia

Sumbangan PTPTN-YPM suntik semangat pelajar

MUHAMMAD Zaheer Norhasdi dan Wan Damia Ayumi Wan Ibrahim bersama replika cek sumbangan yang diterima daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jalinan kerjasama antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) memberi suntikan semangat kepada pelajar bagi merealisasikan cita-cita mereka.

Salah seorang anak angkat program kerjasama itu, Muhammad Zaheer Norhasdi, 13, berkata, dia berterima kasih atas sumbangan diberikan.

Katanya, sumbangan itu yang juga menjadi akaun pendidikan pertamanya akan digunakan sebaik mungkin dalam membantunya menjalani sesi persekolahan.

“Ini adalah akaun pertama saya dalam menampung sesi pembelajaran. Saya sangat berterima kasih atas sumbangan diberikan ini. Insya-Allah, akaun Simpan SSPN Prime ini akan saya manfaatkan sebaik mungkin.

“Akaun simpanan ini adalah untuk masa depan. Saya juga mempunyai cita-cita untuk melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Jepun dalam jurusan undang-undang,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan itu.

PTPTN dan YPM hari ini mengadakan majlis pengumuman program kerjasama antara dua badan itu di Menara PTPTN di sini bagi membantu pelajar mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

Dalam majlis tersebut, PTPTN menyerahkan sumbangan sebanyak RM150,000 kepada YPM dengan matlamat menjayakan program pintar@KPLB-PTPTN, skim anak angkat PTPTN dan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Wan Damia Ayumi Wan Ibrahim, 13, berkata, dia turut bersyukur kerana bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapanya.

“Saya akan gunakan duit sumbangan ini untuk menampung segala kos pembelajaran di peringkat menengah.

“Secara tidak langsung, sumbangan ini juga menyuntik semangat saya untuk belajar lebih rajin lagi.

“Saya juga mempunyai sasaran untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang yang berkaitan dengan agama Islam,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya