TAMPIN: Mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) iaitu 3.92 dengan empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 mendapat keputusan semua A merupakan pencapaian terbaik buat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin di sini sejak penubuhannya 98 tahun lalu.
Pengetua sekolah terbabit, Zul Senin berkata, sebagai sebuah sekolah harian biasa, keputusan yang diperoleh tersebut tentu sekali sangat dibanggakan.
“Tahun sebelumnya, GPS sekolah ini adalah 4.79 dan tahun lepas pencapaian kami meningkat kepada 3.02. Empat daripada 144 orang calon SPM kami mendapat keputusan semua A di mana tiga daripadanya merupakan pelajar aliran sains tulen manakala satu lagi pelajar ialah aliran sastera.
“37 orang calon pula mendapat keputusan 5A hingga 8A dan ini merupakan pencapaian terbaik yang diperoleh sekolah hasil kerjasama seramai 30 guru bagi peperiksaan SPM kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ujar Zul lagi, bagi SPM 2021, ia dianggap sebagai kohort paling getir apabila kesemua calon terpaksa melalui pelbagai cabaran termasuk proses pembelajaran dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
“PKP membataskan pembelajaran dengan tidak secara bersemuka seperti biasa menyebabkan kesemua guru harus berkorban masa serta tenaga mendidik pelajar pada bila-bila masa pelajar mempunyai masa.
“Kami faham ada yang dapat belajar selepas ibu bapa berada di rumah akibat kekangan teknologi dan guru juga tidak kisah untuk menyemak atau menjawab pertanyaan pelajar dalam satu-satu subjek pada waktu malam mahupun tengah malam.
“Saya harap agar kerjasama seumpama ini akan dapat diteruskan bagi memastikan pelajar berjaya mendapat keputusan cemerlang walaupun berhadapan dengan apa juga cabaran,” katanya. –UTUSAN ONLINE