KOTA BHARU: Penduduk Kelantan kecewa tidak dapat ‘menyokong’ filem epik Melayu Mat Kilau yang sarat dengan nilai sejarah bangsa susulan langkah kerajaan negeri tidak membenarkan panggung wayang beroperasi di negeri ini.
Ketiadaan kemudahan itu menyaksikan ramai rakyat negeri ini dilihat berpusu-pusu ke Terengganu untuk menyaksikan filem yang sedang hangat diperkatakan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Mohd. Azwar Sharifuddin, 41, berkata, disebabkan ‘aura’ filem itu terlalu kuat dengan bangsa Melayu, dia dan rakan-rakannya sanggup menaiki kereta selama tiga jam untuk ke Terengganu sebagai tanda sokongan.
“Saya berharap kerajaan negeri dapat mengkaji semula cadangan untuk membuka kemudahan (panggung wayang) itu di negeri ini.
“Kalau nak buat secara patuh syariah pun, kami sedia. Ia secara tidak langsung memberi ruang kepada kami untuk menonton filem bersama-sama keluarga,” katanya.
Bagi Ahmad Fikeri, 42, pula berpandangan, kerajaan negeri harus memberi peluang kepada rakyat di negeri ini menikmati hiburan, tetapi berlandaskan syariat Islam.
“Saya tidak kisah menonton wayang seorang diri dan tempat duduk antara lelaki dan wanita diasingkan. Apa pun, kami sebagai rakyat Kelantan mahukan pawagam di negeri ini.
“Kerajaan harus melihat dari perspektif positif dengan kewujudan pawagam ini secara tidak langsung mampu merancakkan lagi perkembangan ekonomi di negeri ini,” ujarnya.
Sementara itu, Mohammad Aswady Adenan, 41, berkata, dia amat menyokong kewujudan panggung wayang di negeri ini dengan menjadikan Terengganu sebagai contoh.
Katanya, dia agak ralat dan kecewa tidak dapat melihat filem yang kaya dengan nilai-nilai patriotik.
“Bayangkanlah, saya perlu ambil masa perjalanan tujuh hingga lapan jam hanya hendak ke Kuala Lumpur dan lebih tiga jam hanya untuk ke Kuala Terengganu jika mahu menonton filem Mat Kilau.
“Jadi, saya harap kerajaan negeri dapat melihat isu ini dan melihat dari sudut positif berhubung pembinaan pawagam di Kelantan,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Kelantan bertegas untuk tidak membenarkan panggung wayang beroperasi di negeri ini. –UTUSAN ONLINE