PVATM nafi terlibat himpunan 6622 - Utusan Malaysia

PVATM nafi terlibat himpunan 6622

Sharuddin Omar dalam sidang akhbar di Wisma Pahlawan, Kuala Lumpur, hari ini. - FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menafikan pihaknya terlibat dalam sebarang penganjuran perhimpunan aman veteran atau dikenali sebagai ‘Reunion Veteran 6622’.

ini.

Presidennya, Datuk Sharuddin Omar berkata, ini berikutan PVATM tetap berpegang kepada prinsip rundingan secara berhemah untuk mencari penyelesaian terutamanya bagi menangani isu-isu berkaitan veteran.

Justeru, katanya, semua ahli PVATM dilarang menyertai kerana ia melanggar peraturan dan perlembagaan persatuan.

Katanya, tindakan akan dikenakan terhadap ahlinya yang mengambil bahagian dalam perhimpunan aman tersebut.

“Kami berpandangan perhimpunan ini tidak menggambarkan suara veteran keseluruhan kerana saya percaya majoriti warga veteran memilih pendekatan secara berhemah.

“Pendekatan kita lebih jelas menggunakan meja rundingan sebagai satu langkah terbaik,” katanya kepada pemberita di Wisma Pahlawan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 5,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merancang untuk mengadakan perhimpunan aman secara besar-besaran Isnin ini di semua negeri.

Himpunan itu bagi menyuarakan ketidakpuasan kepada kerajaan yang didakwa tidak menjaga kebajikan tentera berpencen, tidak berpencen dan diberhentikan.

Mengulas lanjut, Sharuddin berkata, PVATM sentiasa komited meneruskan perjuangan lima isu berkaitan veteran meliputi pelarasan pencen veteran, elaun sara hidup kepada veteran tidak berpencen.

Selain itu, katanya, teras perjuangan itu juga merangkumi penambahbaikan pencen terbitan kepada balu, elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan mewujudkan lembaga pengampunan untuk bekas tentera.

Ujarnya, usaha tersebut adalah berterusan dan konsisten sejak 2014.

“PVATM berpandangan himpunan ini tidak memberi sebarang impak. Semua pihak memperjuangkan objektif yang sama tetapi dengan cara berbeza.

“Satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan PVATM pada Mac lepas akan meneruskan tugas perundingan dengan Kementerian Pertahanan seperti dirancang. Oleh itu, tiada istilah gagal dalam sesuatu rundingan selagi mana tiada kata putus.

“Buat masa sekarang kami memberi tumpuan sepenuhnya kepada acara sambutan ulang tahun 100 tahun seperti yang dirancang sehingga penghujung tahun ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN