PTNJ sedia bantu pelancongan Pontian - Utusan Malaysia

PTNJ sedia bantu pelancongan Pontian

HANIS Musalman (dua kiri) bersama Pengarah Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd. Yusof (tiga kanan) menanam pokok bakau ketika Program Tanjung Piai Clean-Up dan Pulau Kukup Mangrove di Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) sedia membantu Tourism Daerah Pontian bagi memperkenal pakej-pakej pelancongan yang terdapat di daerah itu agar mampu menarik lebih ramai pelancong.

Pengarah PTNJ, Hanis Musalman berkata, kerjasama itu diharap dapat bersama-sama menarik kehadiran pelancong untuk menginap di inap desa, hotel, resort, chalet dan pelbagai fasiliti yang terdapat di Pontian.

Katanya, selain berkunjung ke Taman Negara Johor Tanjung Piai dan Pulau Kukup, pelancong juga boleh menikmati aktiviti pelancongan yang disediakan oleh pengusaha-pengusaha tempatan.

“PTNJ bersedia untuk turut mempromosikan kawasan pelancongan di Pontian yang juga mempunyai potensi dan tarikan untuk orang ramai datang selain ke taman negara dan Pulau Kukup,” katanya.

Tambah Hanis, kerjasama antara pihak-pihak berkepentingan dalam industri pelancongan amat penting ketika semua pihak kini memasuki proses pemulihan setelah dua tahun menyepi.

“Mungkin selepas melawat Taman Negara Johor Tanjung Piai dan Pulau Kukup, mereka ingin melihat aktiviti ternakan sangkar ikan, hasil-hasil pertanian seperti ladang nanas, kelapa sawit dan melihat industri kecil dan sederhana (IKS),” ujarnya.

Justeru, beliau berharap pelancaran program ‘Pasport To Nature’ ke lima buah taman negara baru-baru ini sebagai satu usaha menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara mengunjungi lokasi tersebut.

Katanya, lima taman negara berkenaan adalah Taman Negara Endau Rompin (Kampung Peta), Taman Negara Endau- Rompin (Selai), Taman Negara Gunung Ledang, Taman Negara Johor Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup.

Beliau berkata, program tersebut bertujuan untuk melihat sejauh mana minat pengunjung melawat kawasan tersebut yang kaya dengan flora dan fauna selain keindahan alam semula jadi.

“Mereka yang telah melengkapkan ‘Pasport To Nature’ akan menerima beberapa inisiatif daripada pihak kami seperti cenderamata, penginapan percuma serta lain-lain manfaat yang sesuai,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN