Pokok ru tumbang bahayakan pengunjung Pantai Puteri - Utusan Malaysia

Pokok ru tumbang bahayakan pengunjung Pantai Puteri

ABDUL ZAMZURI Abdullah menunjukkan peralatan bot yang rosak akibat terdedah di bawah cuaca terik di Pantai Perigi, Pengkalan Rombang, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemandangan pantai terpanjang di Melaka, Pantai Puteri yang suatu ketika dahulu indah dengan 20 baris pokok ru dan menjadi lokasi tumpuan aktiviti perkelahan, kini kelihatan cacat dengan sisa batang pokok yang tumbang akibat hakisan pantai.

Tinjauan Utusan Malaysia di pantai sepanjang 2.5 kilometer itu mendapati, lebih 15 batang pokok ru dibiarkan mereput di pesisiran pantai dan pengunjung terpaksa berkelah dalam suasana yang menyedihkan serta berbahaya itu.

Seorang peniaga, Nurul Natasya Nadia Adam, 24, berkata, dia yang baru sahaja memulakan perniagaan di situ bimbang sekiranya situasi hakisan pantai menyebabkan lokasi itu hilang nilai tarikannya.

“Kalau semua pokok ru di sini tumbang dan hakisan pantai semakin teruk, siapalah yang mahu datang ke sini kerana ketika itu sudah pasti keadaan tidak lagi selamat untuk aktiviti berkelah atau beriadah.

“Saya juga mungkin terpaksa berpindah ke lokasi baharu untuk mencari rezeki,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, seramai 70 nelayan di Pantai Puteri mendakwa bakal berdepan kerugian melibatkan ribuan ringgit pada monsun barat daya ini, sekiranya pembinaan pemecah ombak tidak dibina dalam masa terdekat.

Isu tersebut terpaksa dihadapi sejak 2018 apabila projek penambakan pasir yang dilakukan secara besar-besaran di Pantai Klebang menyebabkan ombak laut beralih ke lokasi lain.

Dalam pada itu, tinjauan di Pantai Perigi, Pengkalan Rombang mendapati, rumah bot para nelayan yang dibina musnah dan hanya sisa beberapa batang konkrit kelihatan terpacak di pesisiran pantai itu.

Wakil nelayan, Abdul Zamzuri Abdullah, 52, berkata, ia musnah selepas dipukul ribut 11 tahun lalu dan para nelayan terpaksa menunda bot masing-masing di tepi pantai secara ‘koboi’ tanpa bumbung atau kemudahan peralatan lain.

“Selepas rumah bot musnah, kami terpaksa ikat bot di tepi pantai dan di bawah terik matahari sekali gus menyebabkan peralatan menangkap ikan ini cepat rosak.

“Biasanya bot nelayan berharga RM30,000 sehingga RM40,000 ini boleh tahan sehingga 10 tahun lamanya. Disebabkan ia tidak dapat dijaga dengan baik, maka ia cepat rosak dan merugikan kami,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya