MARAN: Pertubuhan Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PKVTTB) Pahang tidak membenarkan 2,000 ahlinya menyertai perhimpunan aman pesara tentera di ibu negara, 6 Jun ini.
Yang Dipertuanya, Mohd. Sani Ishak berkata, PKVTTB Pahang tidak bertanggungjawab terhadap ahli yang hadir atas nama individu dan mereka menanggung risiko sendiri jika dikenakan sebarang tindakan.
“Walaupun nama program perhimpunan aman pesara tentera ditukarkan kepada Reunion Veteran dan Sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong ia hanya gimik,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, secara relatifnya pesara tentera sentiasa dipedulikan kerajaan dan kebajikan mereka dijaga dari semasa ke semasa.
Mohd. Sani turut mempersoalkan keikhlasan pihak penganjur yang memilih mengadakan perhimpunan pada Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, pesara tentera harus proaktif mencari sumber pendapatan untuk keluarga seperti berniaga, bertani dan bergiat dalam industri kecil dan sederhana.
“Kerajaan sentiasa peka dengan pemasalahan bekas tentera sebagaimana yang disuarakan dalam pertemuan meja bulat bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN