KOTA TINGGI: Seorang guru agama berjaya menjadikan kebun jambu air miliknya sebagai produk pelancongan sehingga menarik kehadiran pengunjung bukan sahaja dari negeri ini bahkan dari negara jiran.
Wahid Talib, 70, berkata, kebun yang diusahakan sejak lebih 20 tahun lalu itu memiliki 162 pokok jambu air yang kini amat popular sebagai produk agro-pelancongan di kampung tersebut melalui ‘pesta jambu’ yang dianjurkan setiap kali musim buah berkenaan.
Katanya, pengunjung datang dari pelbagai kawasan seperti Singapura, Indonesia selain Kelantan, Terengganu, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan serta Johor sendiri.
Menariknya, kata Wahid, orang ramai boleh makan secara percuma di kebun berkenaan dan hanya akan dikenakan bayaran sekiranya mereka mahu membawa pulang.
“Idea menganjurkan pesta jambu ini tercetus selepas kebun mempunyai lebihan jambu air yang sudah masak, jadi masa itu pasaran tiada dan selepas bersedekah kepada masjid dan saudara mara pun bekalan jambu masih ada.
“Saya juga guna konsep ini selepas berkunjung ke Cameron Highlands dan lihat orang yang masuk ke kebun strawberi dikenakan bayaran, hendak petik pun dikenakan bayaran. Jadi, saya beritahu anak-anak untuk anjurkan ‘pesta jambu’ di mana pengunjung boleh masuk secara percuma, makan percuma kecuali jika hendak bawa pulang barulah dikenakan bayaran.
“Memang tidak sangka sambutannya amat menggalakkan, mulanya anak hanya buka iklan melalui media sosial untuk sekitar kampung kemudian terbuka kepada semua dari mana-mana sahaja. Saya masih ingat sebelum ini hampir 3,000 orang datang ke kebun, dalam sehari sahaja jambu habis,” katanya ketika ditemui di kebunnya di Felda Sungai Sibol, di sini.
Bapa kepada 11 anak itu berkata, untuk setiap musim, jambu air di kebun itu mampu menghasilkan lebih satu tan buah dan dengan hasil itu dia membesarkan kesemua anak yang ada di antara mereka kini telah berjaya menamatkan pengajian di universiti.
Menceritakan bagaimana tercetus untuk membangunkan kebun tanaman jambu air itu, Wahid berkata, sebelum ini dia pernah menjual jambu air yang diambil daripada peraih dan berjaya menjual sehingga 60 bakul dalam sehari pada ketika itu.
Namun katanya, peraih kemudian menaikan harga pada satu harga yang tidak mampu diambil menyebabkan dia bertekad untuk menanam sendiri buah itu selain memang minatnya dalam bidang pertanian.
“Masa itu dengan bermodalkan berniaga kuih-muih saya gunakan beli benih jambu air, beli sikit-sikit kerana tidak mampu. Alhamdulillah dengan wang jambu air ini saya dapat besarkan semua anak-anak dan kini anak nombor enam membantu saya di kebun.
“Banyak cabaran yang dilalui sepanjang mengusahakan kebun ini termasuk musim panas selama tiga bulan menyebabkan semua buah jambu tidak cantik. Bila tidak cantik tidak dapat jual maka masa itu memang tidak dapat balik modal,” katanya.
Wahid berkata dia amat berharap agar pihak berkenaan atau agensi terlibat dapat membantunya menambah baik dari segi kemudahan di kebunnya agar kawasan itu yang memang sudah dikenali terus menjadi daya penarik para pelancong untuk datang ke daerah ini. –UTUSAN ONLINE