KUALA LUMPUR : Kerajaan akan mempertimbangkan imbuhan kepada pasukan Harimau Malaya selepas berjaya membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2023.
Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun keputusan tersebut bergantung kepada hasil perbincangannya bersama Menteri Belia dan Sukan serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Saya akan bincang dengan Menteri Belia dan Sukan serta FAM, jadi kita tak tahulah adakah imbuhan akan diberi.
“Kalau ada imbuhan, adakah imbuhan akan ia akan diberi terus kepada pemain atau FAM,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu di sini hari ini.
Pada Selasa lalu, skuad bimbingan pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon berjaya menumbangkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023.
Kemenangan itu menyaksikan skuad negara mengumpul keseluruhan enam mata untuk menamatkan kempen kelayakan di kedudukan kedua di belakang Bahrain sekali gus mengesahkan tiket ke Piala Asia selaku antara lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan.
Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia ialah pada edisi 1980 di Kuwait dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi dalam pusingan akhir Piala Asia pada 2007 namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, Presiden FAM ada memberitahunya bahawa skuad Harimau Malaya perlu mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara lebih banyak sebelum Piala Asia bermula.
“Jadi bila kita jadi ‘top 4’ Asian ini, jika kita bermain pasukan yang lebih rendah kualitinya pada Malaysia ia tidak membawa erti kepada pasukan negara.
“Pastinya selepas ini kita akan bermain perlawanan-perlawanan persahabatan yang lebih kuat di luar negara,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE