Peniaga Pasar Payung patuh larangan jual telur penyu - Utusan Malaysia

Peniaga Pasar Payung patuh larangan jual telur penyu

HAIRUL Effendy Adzmi (kiri) memeriksa premis seorang peniaga telur penyu di Pasar Payang 2 di Kuala Terengganu hari ini. - TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hari pertama penguatkuasaan larangan penjualan semua jenis telur penyu termasuk tuntung laut menyaksikan peniaga Pasar Payang 2 di sini mematuhi arahan tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar pelancongan terkemuka itu mendapati kesemua 10 peniaga sudah menghabiskan bekalan telur penyu bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.

Seorang peniaga, Rakiah Abdullah, 61, berkata, lebih 20 biji telur penyu laris semalam selepas dijual separuh harga kepada pelanggan.

Katanya, harga bagi sebiji telur penyu sebelum ini ialah antara RM5 hingga RM8.

“Telur penyu merupakan antara tarikan utama pelancong ke Pasar Payang 2 selain untuk membeli keropok ikan, produk kraf dan batik.

“Sepanjang 20 tahun menjual telur penyu, permintaan cukup tinggi dan sedikit sebanyak saya sedih tidak dapat meneruskan rutin itu tetapi saya akur dengan keputusan kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui hari ini.

Semantara itu, Pegawai Unit Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan negeri, Hairul Effendy Adzmi berkata, aktiviti penjualan telur penyu akan terus dipantau termasuk melalui platform dalam talian.

Katanya, Jabatan Perikanan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga atau individu yang didapati bersalah memiliki atau menjual telur penyu mengikut Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021).

“Kami juga akan meletakkan anggota berpakaian biasa di lokasi dikenal pasti termasuk di kedai-kedai makan bagi memantau aktiviti penjualan telur penyu,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya