Pengurusan masa, rajin bertanya kunci kejayaan SPM - Utusan Malaysia

Pengurusan masa, rajin bertanya kunci kejayaan SPM

LIM Yuan Pei bersama Ian George Taye Cheng Ean masing-masing mendapat pencapaian cemerlang keputusan SPM pada Majlis Apresiasi SPM 2021 Melaka di Dewan Bestari, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka. -UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengurusan masa yang baik serta tidak memaksa diri untuk terus belajar merupakan rahsia kejayaan seorang pelajar, Lim Yuan Pei yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang 10A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gajah Berang itu, dia sangat mementingkan masa dan hanya akan digunakan untuk aktiviti bermanfaat terutamanya mengulang kaji pelajaran.

Bagaimanapun katanya, dia tidak akan memaksa diri untuk belajar sekiranya penat dan akan berehat seketika dengan melakukan aktiviti digemari seperti menonton filem, televisyen dan video.

“Saya hanya melihat nota-nota penting beberapa hari sebelum SPM kerana sudah tiada masa untuk mengulang kaji secara menyeluruh. Sebab itu pengurusan masa sangat penting kerana ia dapat memandu kita ke arah matlamat yang diinginkan.

“Selain itu, saya sentiasa bertanyakan soalan kepada guru-guru yang berpengalaman untuk lebih memahami sesuatu masalah, selain melakukan perbincangan bersama rakan-rakan,” katanya pada majlis pengumuman keputusan SPM 2021 di sini, semalam.

Yuan Pei yang bercita-cita mahu menjadi ahli biologi merupakan seorang daripada dua pelajar di Melaka memperoleh keputusan A+ dalam semua mata pelajaran.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Ian George Taye Cheng Ean berkata, pembelajaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sangat mencabar kerana kelas dilaksanakan secara dalam talian.

Menurut pelajar SMK St. Francis itu, meskipun proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan seperti biasa, namun interaksi antara guru dan pelajar adalah terhad.

“Saya tetap bersyukur dan gembira kerana mendapat 9A+. Kekangan ketika belajar sewaktu PKP tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak bertanya kepada guru melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram.

“Saya hubungi guru dan mereka sudi membantu serta memperbetulkan kesilapan yang saya lakukan. Pada masa sama, inisiatif yang dilaksanakan pihak sekolah dengan mewujudkan kumpulan WhatsApp untuk setiap mata pelajaran sangat membantu pelajar mendapatkan input berguna,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya