Penguatkuasaan agresif DBKL terhadap kemasukan kenderaan berat pada waktu puncak - Utusan Malaysia

Penguatkuasaan agresif DBKL terhadap kemasukan kenderaan berat pada waktu puncak

JALALUDDIN Alias (empat dari kiri) bersama Nadzim (tiga dari kanan) pada Majlis Pengimarahan Masjid Kariah Pantai di Seremban hari ini.UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Wilayah Persekutuan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menggunakan kenderaan berat untuk memasuki laluan waktu terhad ke pusat bandar raya Kuala Lumpur pada waktu puncak.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, oleh itu pihaknya telah meminta penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi meningkatkan pemantauan agar dapat menghalang kemasukan kenderaan berat pada waktu tersebut yang menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Saya telah meminta DBKL melipatgandakan pemantauan bagi mencegah kemasukan kenderaan berat ke ibu kota yang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas dan menjejaskan kelancaran aliran trafik di Lembah Klang.

“Di pihak kementerian, kami tidak lagi boleh bertolak ansur dalam hal ini kerana kami telah mendengar pelbagai rungutan mengenai isu kesesakan dan akan mengambil tindakan sepenuhnya. 

“Kerja-kerja baik pulih yang tidak sewajarnya berlaku pada waktu puncak, selain itu, orang ramai yang meletakkan kenderaan tanpa sebab dan peniaga yang menjalankan perniagaan yang menyumbang kepada kesesakan juga akan diambil tindakan. Saya mohon maaf kepada semua kerana penguatkuasaan akan dijalankan sangat agresif selepas segala peringatan telah diberikan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pengimarahan Masjid Kariah Pantai di sini hari ini. 

Yang hadir sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Pengasas Yayasan Malindo Worldwide, Prof. Datuk Sri Dr. Reex Wong Chin Choong.

Dua hari lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melarang semua pengendali syarikat atau pemandu kenderaan barangan membabitkan kenderaan berat dengan muatan (BDM) melebihi 7,500 kilogram memasuki jalan raya utama di Kuala Lumpur dari pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam setiap hari.

Ini berikutan pemantauan JPJ mendapati terdapat pergerakan kenderaan berat memasuki laluan waktu terhad ke pusat bandar raya pada waktu kemuncak iaitu sebelah pagi dan petang yang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas serta menjejaskan kelancaran aliran trafik di Lembah Klang.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Jalaludin menjelaskan, pengimarahan masjid dilaksanakan bagi memberi pendedahan bahawa masjid sebagai satu tempat penyatuan masyarakat. 

“Pelbagai program yang menarik perlu dijalankan bagi memastikan masyarakat menjadikan pusat ibadat tempat berkumpul dan mengimarahkan masyarakat setempat. 

“Tidak perlu menunggu untuk menjalankan aktiviti pada bulan Ramadan atau sambutan Aidilfitri sahaja, namun, pihak masjid dan surau boleh menggunakan masjid untuk menjalankan pelbagai aktiviti bersama masyarakat setempat,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya