Pemilik dusun durian mula tak menang tangan  - Utusan Malaysia

Pemilik dusun durian mula tak menang tangan 

Jais mengutip buah durian di kebunnya di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas,Pontian, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pemilik dusun di daerah ini mulai sibuk dengan kegiatan seharian apabila raja buah berkenaan mula gugur pada masa ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan terutamanya di Pekan Nanas menunjukkan semakin banyak gerai atau pondok menjual durian dibina, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan bagi menjual hasil tersebut kepada orang ramai.

Bagi Azmi Mohamed, 51, dari Kampung Melayu Raya, sejak dua minggu dia mula sibuk dengan kerja-kerja mengutip dan mengumpul durian menggunakan ‘gerabak’ khas bagi memudahkan tugasannya.

Durian di dusun durian seluas 4.4 hektar termasuk milik keluarganya mula gugur dan memerlukan perhatian supaya dapat dikutip serta dikumpul untuk dijual terus kepada pembeli yang datang ke rumahnya.

Seperti mana musim-musim durian sebelum ini, dia tidak menjualnya di luar, sebaliknya  menunggu pembeli  termasuk pemborong datang ke kebunnya pada sebelah pagi atau petang.

“Alhamdulillah hampir keseluruhan daripada 140 pokok durian saya berbuah pada kali ini dan menyebabkan saya tidak menang tangan untuk melayan pelanggan yang datang setiap hari ini.

“Ada pelbagai jenis durian seperti durian kampung, kahwin dan sebagainya menjadi pilihan pembeli  dengan harga yang berpatutan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Azmi menjangkakan pengeluaran pada musim ini melebihi 200,000 biji berdasarkan pemerhatian pada setiap pokok walaupun ada masalah cuaca pada waktu berbunga.

Jais Munaseri, 50, pekebun durian dari Kampung Paya Embun juga mengakui sibuk mengutip buah durian daripada 30 pokok yang dijual secara terus kepada pembeli.

Dia menganggarkan sebanyak 5,000 buah durian telah mula gugur pada minggu lalu dan berterusan pada bulan ini yang merupakan sumber pendapatan tambahan kepada penduduk luar bandar.

Menurutnya, kerja-kerja di bengkel besinya akan ditangguhkan buah sementera bagi memberi tumpuan terhadap kerja  mengutip, dan mengumpul buah durian pada waktu pagi dan petang.

“Kami anggap musim durian ini sebagai bonus tahunan dan bersyukur kerana kali ini tidak bertembung dengan bulan puasa yang menyebabkan permintaan berkurangan,” ujarnya.

Kebun duriannya telah menyertai program Amalan Pertanian Baik (GAP) daripada Jabatan Pertanian yang menerima pelbagai sokongan bahan input mahupun khidmat nasihat. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya