MELAKA: Kerajaan negeri mengarahkan siasatan segera dilakukan pihak pemaju, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) berhubung kejadian tebing runtuh di Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh dekat sini.
Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Pejabat Ketua Menteri, Datuk Muhammad Ahyad Abdullah berkata, pihak terbabit diarahkan menyiapkan laporan terperinci berhubung kejadian sebelum dibawa kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Menurutnya, buat sementara waktu, projek pembinaan bangunan perniagaan berhampiran dihentikan seketika bagi menilai kerosakan termasuk mengelak daripada berlakunya insiden berulang.
“Hasil perbincangan dengan pihak pemaju, mereka akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi permasalahan yang timbul bagi mengurangkan keluh-kesah penduduk di 80 buah rumah di sekitar Jalan Seri Raya 4, sejak insiden tebing runtuh berlaku.
“Dalam masa sama, kita juga meminta laporan terperinci daripada agensi terlibat termasuk JKR, MPHTJ dan pemaju berhubung kejadian awal pagi semalam untuk dibentangkan kepada Ketua Menteri, petang ini juga,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kebimbangan penduduk di kawasan berkenaan ekoran kejadian tebing runtuh berlaku awal pagi semalam ekoran hujan lebat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Datuk Mohd. Arief Yusa berkata, Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) menerima banyak aduan daripada penduduk sejak projek tersebut dilaksanakan Disember 2021.
“Bukan sahaja daripada penduduk, aduan juga turut diterima daripada Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Melaka Tengah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Baru.
“Pihak Japerun juga mengemukakan bantahan daripada penduduk kepada MPHTJ dan kerajaan negeri, berhubung kekhuatiran projek yang memberi impak negatif dan bahaya kepada penduduk terutama tentang struktur tanah,” katanya. –UTUSAN ONLINE