Pelik jika Muhammad Shafee tak layak bela Najib - Pendakwaan - Utusan Malaysia

Pelik jika Muhammad Shafee tak layak bela Najib – Pendakwaan

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Adalah pelik selepas tiga tahun mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak bermula daripada Mahkamah Rendah sehingga ke Mahkamah Persekutuan, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyatakan tiada peguam di negara ini yang layak untuk membela bekas Perdana Menteri itu.

Tindakan Queen’s Counsel (QC), Jonathan LaidLaw memohon untuk mewakili Najib dan berhujah bagi pertuduhan-pertuduhan yang dihadapi oleh Ahli Parlimen Pekan itu juga satu ironi kerana peguam kanan daripada United Kingdom itu sendiri tidak mempunyai pengalaman untuk berbuat demikian di Mahkamah di negara ini.

“Adalah sukar untuk difahami bagaimana pemohon (Laidlaw) sebagai seorang yang asing kepada undang-undang tempatan boleh dikatakan lebih lengkap dan layak daripada peguam jenayah tempatan yang kanan termasuk Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang sering hadir di hadapan semua peringkat Mahkamah Malaysia untuk menghujahkan kes-kes yang sama seperti pertuduhan-pertuduhan (yang dihadapi Najib) tersebut. 

“Adalah sukar untuk diterima bahawa daripada 21,625 orang peguambela dan peguamcara di Malaysia, tidak ada seorang pun yang memiliki kelayakan istimewa atau pengalaman untuk mengendalikan Rayuan tersebut, kecuali Pemohon. 

“Bagi tujuan rayuan tersebut, Laidlaw perlu menunjukkan beliau memiliki kelayakan istimewa atau pengalaman yang tidak ada pada seorang pun dalam kalangan peguambela dan peguamcara di Malaysia, di mana pemohon telah gagal untuk berbuat demikian,”ujar Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul. 

Itu merupakan antara alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan melalui afidavit yang difailkan oleh Mohd. Ashrof bagi membantah permohonan LaidLaw untuk diterima masuk sebagai peguam bela dalam rayuan akhir Najib membabitkan kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd. yang akan didengar Ogos ini.

Afidavit tersebut difailkan pada pukul 2.57 petang semalam di Mahkamah Tinggi di sini. Sesalinan dokumen tersebut diperoleh media lewat petang ini.

Pada awal bulan lalu, Laidlaw melalui notis usul yang difailkan oleh firma guaman, Tetuan Shafee & Co. memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini agar beliau diterima masuk sebagai peguam bela Najib.

Menurut laporan media sebelum ini, pendengaran permohonan untuk menerima masuk dijangka akan dibuat di antara 20 dan 24 Jun ini.

Menurut notis usul dan afidavit yang diikrarkan oleh Muhammad Shafee, tiada peguam bela atau peguam cara di negara ini yang mempunyai kepakaran atau pengalaman seperti peguam kanan daripada United Kingdom.

Antara kes yang pernah dikendalikan Laidlaw ialah siasatan salah laku ejen risikan British yang dikenali sebagai Steaknife yang dikatakan ejen talam dua muka dan mewakili beberapa pelanggan seperti Bank Of England dan Kelab Bola Sepak Chelsea yang disiasat oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Pendengaran rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya itu ditetapkan selama 10 hari iaitu daripada 15 hingga 19 Ogos sebelum bersambung pada 22 hingga 26 Ogos ini.

Selain itu, Mohd. Ashrof dalam afidavit tersebut menyatakan, walaupun terdapat perkara baharu ditimbulkan dalam perbicaraan ini, namun isu atau perkara-undang-undang baharu itu bukanlah sesuatu yang sukar.

“Ia merupakan satu kesilapan untuk mendakwa bahawa isu-isu tersebut masih baharu atau kompleks dengan mengambil kira bahawa dapatan (yang dibuat) Hakim Bicara yang turut didapati dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan,”kata Mohd. Ashrof.

Tambah Mohd. Ashrof, keperluan untuk menerima masuk seseorang peguam merupakan satu proses yang ketat yang memerlukan lebih daripada pengemukaan resume dan pencapaian di luar Malaysia. 

Selain itu, kelayakan dan pengalaman Laidlaw seperti yang dinyatakan afidavit yang diikrarkan oleh Muhammad Shafee sebelum ini tidak mempunyai kaitan dengan pertuduhan-pertuduhan yang dihadapi oleh Najib terutamanya apabila pengalaman itu tidak mempunyai kaitan dengan sistem perundangan jenayah Malaysia.

“Pemohon tidak ada kelayakan Bahasa Malaysia yang diperlukan di bawah subseksyen 11(2) Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk berjaya dalam permohonan ad hoc di bawah seksyen 18 akta sama. Pemohon bukan seorang berkelayakan untuk diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara ad hoc di bawah akta tersebut.

“Pertuduhan-pertuduhan tersebut di Mahkamah Persekutuan bukan pertuduhan yang baru tetapi pertuduhan sama yang dikendalikan oleh Muhammad Shafee di Mahkamah Tinggi dan di Mahkamah Rayuan. 

“Permohonan ini tidak bermerit dan gagal untuk menunjukkan justifikasi yang diperlukan untuk membolehkan Mahkamah untuk menggunakan budi bicara mengikut Seksyen 18(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976.

“Oleh itu, saya dengan rendah diri memohon agar permohonan Laidlaw ditolak,”kata Mohd. Ashrof.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Pada 8 Disember 2020, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya