Nilai Tasamuh sesuai kemajmukan di Malaysia - Utusan Malaysia

Nilai Tasamuh sesuai kemajmukan di Malaysia

ISMAIL Sabri Yaakob menerima cenderamata yang disampaikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sambil diperhatikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad sempena Perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Nilai Tasamuh yang menekankan kebersamaan sesuai dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat di negara ini menghargai dan memahami nilai perbezaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi negara yang memiliki bangsa dan budaya majmuk seperti Malaysia, sikap toleransi atau tasamuh sangat penting sebagai alat menyatupadukan rakyat.

Kata beliau, dalam realiti Keluarga Malaysia yang terdiri masyarakat berbilang kaum, kepelbagaian budaya dan adat resam menjadi keunikan yang perlu diraikan, sekali gus mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera.

“Tasamuh adalah asas utama dalam menghadapi keragaman dan perbezaan bangsa serta agama, lebih-lebih lagi dalam konteks Malaysia yang mempunyai kepelbagaian bangsa, agama, budaya serta bahasanya.

“Mana-mana budaya yang tidak bertentangan dengan akidah Islam boleh disantuni tanpa sebarang stigma dan diskriminasi,” katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran 1443H, di sini malam ini.

Perdana Menteri berkata, dalam apa juga perkara, konsep Tasamuh dalam bermasyarakat harus menjadi perkara utama kepada Keluarga Malaysia untuk bergerak ke hadapan sejajar dengan peredaran masa kini.

Tambah Ismail Sabri, rakyat juga perlu bersyukur kerana dapat mengamalkan cara hidup berteraskan prinsip dan acuan al-Quran dengan bebas, aman dan harmoni seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Ia memperuntukkan Islam agama Persekutuan, namun pada masa sama, agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Sebagai bukti, penganjuran majlis ini diadakan saban tahun dan ditunggu-tunggu kerana menjadi wadah dalam membangunkan masyarakat Islam yang bermanhaj Rabbani.

“Bersesuaian tema majlis tahun ini iaitu Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti, ia menjadi titik tolak bagi melahirkan generasi yang berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah untuk membentuk sebuah negara yang harmoni,” katanya.

Kata Perdana Menteri, dalam menjalani rutin seharian di zaman serba mencabar ini juga, kekuatan fizikal dan spiritual perlu seimbang, maka mempelajari al-Quran merupakan satu kewajipan.

Dengan kecanggihan teknologi, Ismail Sabri berkata, tiada alasan lagi untuk tidak meluangkan masa mendengar atau membaca al-Quran kerana terdapat aplikasi digital yang boleh dimuat naik dalam peranti seperti telefon pintar, tablet atau komputer riba.

“Ia dapat didengar pada bila-bila masa dan di mana jua kita berada. Sebagai contoh dalam perjalanan ke sekolah dan pejabat, semasa mengharungi kesesakan lalu lintas dan juga di waktu senggang kita,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya