KEMAMAN : Kira-kira 100 nelayan di Pantai Penunjuk, Kijal di sini merayu pihak kerajaan segera membina benteng pemecah ombak dan menyelesaikan masalah muara cetek yang berlarutan lebih 10 tahun lalu
Nelayan mendakwa, masalah yang dihadapi mereka itu bukan sahaja menyebabkan bot mereka rosak terlanggar beting pasir ketika berlabuh, malah turut menyebabkan bot mereka terbalik terlanggar beting pasir ketika memasuki muara sungai.
Lebih buruk lagi ketika berlaku pertembungan air pasang dan kepala air selepas hujan lebat menyebabkan bot yang berlabuh di muara pantai itu sering tenggelam.
Dalam kejadian terbaharu, pada Sabtu lalu, sebanyak 16 buah bot tenggelam dan rosak manakala sebuah bot hilang ekoran kejadian tersebut.
Salah seorang nelayan, Ismail Mohamad, 64, berkata, dia turut kerugian kira-kira RM4,000 selepas botnya pecah dan enjin rosak ditenggelami air pada Sabtu lalu.
“Kami bukan sahaja berdepan masalah muara cetek, tapi tempat kami berlabuh berisiko tinggi kerana setiap kali ada kepala air dan pertembungan air pasang, memang bot ditenggelami air.
“Sekarang saya tidak dapat turun laut sementara menunggu bot siap dibaiki,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Seorang lagi nelayan, Shafie Puteh, 61, berkata, masa turun ke laut terhad berikutan mereka terpaksa bergantung kepada pasang surut air laut.
“Kami perlu turun dan balik dari laut ketika air pasang. Kadangkala, belum sampai empat jam dan tidak dapat hasil laut lagi, dah kena balik sebab kami bimbang air surut.
“Adakalanya, sampai 10 hari saya tidak turun ke laut sebab air pasang awal pagi,” katanya yang berharap pihak kerajaan memandang serius isu tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Peraturan Nelayan Kijal, Yusof Mohamad berkata, pembinaan benteng penahan ombak penting bagi membolehkan bot nelayan berlabuh dengan selamat.
“Kita telah membuat beberapa kali permohonan sebelum ini, namun sehingga kini masih belum ada apa-apa tindakan daripada pihak berwajib,” katanya. –UTUSAN ONLINE