KANGAR: Nelayan negeri ini khususnya di Kuala Perlis mendakwa harga jualan kebanyakan tangkapan hasil laut kepada peraih tidak berubah sejak empat tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang nelayan dari Kuala Perlis yang hanya mahu dikenali sebagai Mat Rafi, 45,berkata, harga jualan bagi satu kilogram ikan kembung kepada peraih adalah sekitar RM10 dan ia masih kekal sejak tempoh tersebut.
Katanya, sekiranya saiz ikan lebih kecil iaitu antara 15 hingga 20 ekor untuk mencukupi berat satu kilogram harga yang ditolak kepada peraih adalah sekitar RM4 hingga RM5.
“Harga tangkapan hasil laut yang ditolak kepada peraih tidak pernah meningkat walaupun barang keperluan meningkat. Hanya harga udang dan ketam sahaja yang ada sedikit peningkatan.
“Di Kuala Perlis pula, bekalan udang dan ketam agak berkurangan kerana kebanyakan habitat rosak akibat aktiviti penangkapan siput retak seribu secara tidak sah oleh nelayan luar,” katanya.
Tambah Mat Rafi, peraih ikan akan mengambil untung antara RM3 hingga RM5 sekilogram bagi ikan kembung.
Katanya, dengan mengambil contoh nelayan menjual hasil tangkapan kepada peraih pada harga RM10, peraih pula akan menjual kepada pemborong atau peruncit dengan harga sekitar RM13 hingga RM15.
“Di peringkat pemborong dan peruncit, mereka mengambil untung antara RM2 hingga RM4 sekilogram bagi ikan kembung. Boleh dikatakan lebih separuh jumlah peraih di Kuala Perlis menjual sendiri kepada pembeli terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika wabak Covid-19,” jelasnya.
Tambahnya, keadaan itu menyebabkan harga ikan di negeri ini boleh dikatakan stabil namun kadang kala naik disebabkan kekurangan bekalan.
Sementara itu, seorang lagi nelayan pantai, Abdul Hamid Ibrahim, 58, berkata, dia hanya membekalkan ketam hijau kepada peraih dan harga ditawarkan kepada mereka adalah antara RM29 hingga RM30 untuk satu kilogram.
“Kami hanya akan mendapat ‘durian runtuh’ apabila tiba musim ketam antara Mac hingga Mei dan selepas itu, pendapatan adalah tidak menentu bergantung kepada hasil tangkapan. –UTUSAN ONLINE