MOTAC tidak terima laporan hotel tutup - Utusan Malaysia

MOTAC tidak terima laporan hotel tutup

NANCY Shukry memalu gong sebagai simbolik pelancaran sambil kempen #GoJalanLah dan Livery Firefly oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama syarikat penerbangan Firefly sambil disaksikan Philip See di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak menerima sebarang laporan pengesahan terhadap hotel-hotel yang tidak dapat beroperasi atau ditutup selepas negara memasuki fasa endemik.

Sebaliknya, hotel-hotel yang ditutup ketika penguatkuasaan sekatan pergerakan akibat Covid-19 pada dua tahun kebelakangan ini adalah disebabkan ketiadaan pelanggan atau pelancong.

Menurut menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, kementerian tidak menerima laporan pengesahan terhadap hotel-hotel yang ditutup terus sebaliknya terdapat pengusaha meneruskan proses pengubahsuaian dan berdepan dengan masalah kekurangan pekerja.

“Dari segi sudut, tutup terus, kita belum menerima laporan pengesahan, cuma yang isunya ketika itu adalah tiada orang masuk. Tetapi apabila kita buka untuk domestik, hotel kembali dibuka kepada umum. 

Selain itu, pengusaha hotel juga berdepan masalah pekerja, pekerja yang biasa bekerja di hotel dahulu pula berasa tidak pasti dan bimbang terhadap operasi hotel mereka (sekejap buka dan tutup. Sebenarnya sekarang kini, kita memerlukan lebih ramai lagi pekerja untuk membantu sektor industri seperti hotel dan spa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan kempen #GoJalanLah dan Livery Firefly oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama syarikat penerbangan Firefly yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Philip See.

Dalam pada itu, Nancy turut mengulas mengenai kebimbangan penularan wabak cacar monyet (monkey pox) yang dikhuatiri tular dalam kalangan pelancong memasuki negara ini selepas pintu sempadan negara dibuka untuk sektor pelancongan.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan MOTAC akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan nasihat dan tindakan lanjut sekiranya terdapat penularan jangkitan dikesan dalam kalangan pelancong yang memasuki negara ini.

“Kita kena kerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan, sebab pakar adalah dari sana, mereka akan maklumkan kepada kita apa yang patut dibuat jika ada kes (jangkitan cacar monyet). Jadi setakat ini semuanya berhati-hati masih selamat untuk dilawat,” jelasnya, –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya