Menyusuri jejak Raja Melewar - Utusan Malaysia

Menyusuri jejak Raja Melewar

NAZRI Kamal melihat baju T yang disediakan untuk 300 peserta yang akan menyertai program Jejak Warisan Raja Melewar pada Ahad ini ketika ditemui pemberita di -Seremban, hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 300 pencinta sejarah dari seluruh negara akan menyusuri semula laluan sejauh 18 kilometer yang pernah digunakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang pertama, Raja Melewar pada tahun 1775 untuk mendirikan kerajaan beraja di negeri ini, Ahad ini.

Aktiviti itu akan dilakukan dalam program Jejak Warisan Raja Melewar pada Ahad ini, bermula di Kampung Pabai, Miku dekat Rembau sehingga ke Kampung Gunung Pasir, Seri Menanti di Kuala Pilah.

Pengarah program, Datuk Nazri Kamal berkata, laluan itu yang sebahagian besarnya adalah hutan dianggap sangat penting kepada sejarah kerajaan beraja di negeri ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bentan Malaysia berkata, mengikut sejarah, Raja Melewar dikatakan menggunakan laluan itu untuk tiba di Seri Menanti yang memakan masa selama tiga hari tiga malam.

“Laluan itu menempuh bukit, sungai, air terjun dan denai sebelum tiba di Seri Menanti.

“Jejak ini juga menjadi laluan untuk setiap Undang Luak Rembau yang baru dilantik untuk mengadap baginda Yang di-Pertuan Besar di Seri Menanti,” katanya hari ini.

Menurutnya, program itu yang julung kali dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Pusaka Bentan Malaysia secara percuma dan mendapat sambutan hangat daripada pelbagai pihak di seluruh negara hingga pihaknya terpaksa menolak penyertaan disebabkan kesuntukan masa.

Nazri berharap penganjuran program itu dapat meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai sejarah beraja di negeri ini yang dianggap unik dalam kalangan institusi beraja di negara ini.

“Ia penting supaya generasi masa kini sentiasa memartabatkan institusi beraja yang menjadi tunggak negara.

“Selain itu, persekitaran yang menarik sepanjang laluan ini juga mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancong yang baharu kepada negara,” ujarnya.

Program itu akan dirasmikan oleh Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman di pekarangan Muzium Astana Raja, Rembau pada pukul 8.45 pagi.  –UTUSAN ONLINE

NAZRI Kamal melihat baju T yang disediakan untuk 300 peserta yang akan menyertai program Jejak Warisan Raja Melewar pada Ahad ini ketika ditemui pemberita di -Seremban, hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya