Masjid di Perlis mampu kumpul 101 tan metrik barang kitar semula sebulan - Utusan Malaysia

Masjid di Perlis mampu kumpul 101 tan metrik barang kitar semula sebulan

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) dan Rizalman Mokhtar (dua dari kanan) pada majlis perasmian program amal jariah melalui barangan kitar semula di Dewan Bakawali MES Pegawai Polis Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dianggarkan 101 tan metrik atau 101,000 kilogram barangan kitar semula mampu dikumpul dalam masa sebulan melalui program amal jariah melalui barangan kitar semula di 101 masjid seluruh negeri ini.

Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Malaysia, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, program tersebut adalah kerjasama SWCorp Perlis dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAIPs).

Katanya, usahasama tersebut bertujuan untuk memperkasakan dan membudayakan aktiviti kitar semula dalam kalangan kariah-kariah masjid dan masyarakat di negeri ini.

“Perlis merupakan perintis bagi program ini. Kami tidak mempunyai jumlah sasaran yang spesifik namun setiap masjid dijangka mampu mengumpul antara 500 kilogram hingga satu tan metrik barang kitar semula sebulan.

“Penerangan dibuat kepada ahli jawatan kuasa masjid supaya memainkan peranan dalam memperluaskan program ini kerana ia secara tidak langsung dapat memberi manfaat dan pendapatan tambahan kepada masjid-masjid terlibat,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian program tersebut dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SWCorp Perlis dan JAIPs di Dewan Bakawali MES Pegawai Polis Kangar di sini hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan program tersebut yang sudah bermula dari Ogos 2021 melibatkan 22 buah masjid perintis.

Sementara itu, Rizalman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kerjasama dalam program amal tersebut akan diadakan di negeri serta rumah ibadat yang lain selepas ini.

“Program amal jariah barangan kitar semula ini adalah bertepatan dengan aspirasi negara bagi mengadaptasikan ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa pepejal di Malaysia dan strategi 3.2 dalam Dasar Kebersihan Negara iaitu menjana pendapatan daripada sisa.

“Melalui program ini, masyarakat setempat dapat memberi sumbangan kepada institusi masjid dengan melaksanakan aktiviti pengumpulan dan penjualan barang kitar semula.

“Hasil jualan tersebut nanti dapat digunakan bagi tujuan pembangunan kemudahan dan infrastruktur masjid serta aktiviti kemasyarakatan bersama kariah-kariah di masjid,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN