Lima kes kematian disengat tebuan di Terengganu - Utusan Malaysia

Lima kes kematian disengat tebuan di Terengganu

ANGGOTA JBPM memusnahkan sarang tebuan di pelantar jeti usang di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kematian seorang kanak-kanak akibat sengatan tebuan di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus, dekat sini, Ahad lalu merupakan kes kelima seumpama itu di negeri ini sejak 2017.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Muhammad Basri Kamaruzaman, empat kes kematian sebelum itu turut melibatkan kanak-kanak yang berumur tiga, lapan (dua kes) dan 11 tahun.

Katanya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 956 panggilan kecemasan diterima JBPM negeri daripada orang ramai untuk memusnahkan sarang serangga berbisa terbabit.

Menurutnya, sebanyak 150 panggilan kecemasan diterima dari 1 Januari lalu sehingga kini dan jumlah itu dijangka bertambah apabila memasuki musim panas kerana tebuan aktif ketika cuaca  panas.

“Ketika musim panas, aduan orang awam mencecah lebih 100 panggilan sehari melibatkan gangguan tebuan tanah yang gemar bersarang di kawasan berlubang, siling rumah dan pokok-pokok renek.

“Orang ramai dinasihatkan peka dengan persekitaran sekeliling dan segera menghubungi JBPM untuk tindakan jika menjumpai sarang tebuan,” katanya yang ditemui di Ibu Pejabat JBPM Negeri di sini, hari ini.

Tambah beliau, sengatan tebuan dalam jumlah yang banyak boleh menyebabkan kematian seperti dalam kejadian seorang kanak-kanak diserang sekumpulan tebuan di kampung terlibat, Ahad lalu.

Dalam kejadian tersebut, mangsa, Eidrish Mohd. Khalid, 5, maut setelah terkena lebih 60 sengatan tebuan ketika bermain di hadapan rumah datuknya manakala dua lagi kakaknya dirawat di hospital.

Bapa mangsa, Mohd. Khalid Omar, 40, mendakwa tebuan itu dipercayai bersarang di longgokan sisa pelantar jeti usang di taman permainan di kampung itu sejak empat tahun lalu. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya